09 June 2007

Kakitangan awam diminta bersaing

Berita Harian

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu kakitangan awam di semua peringkat memupuk semangat berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kerjaya masing-masing.

Perdana Menteri berkata, semua kakitangan mesti bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan supaya dapat memberi perkhidmatan yang lebih baik.

"Mudah-mudahan saudara saudari semua akan berusaha bersungguh-sungguh dengan semangat berlumba-lumba, ini bukan satu kesalahan, tetapi berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi daripada kawan-kawan lain.

"Hanya apabila ada semangat pada semua orang untuk bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan, barulah kita lihat nanti perkhidmatan awam kita akan bertambah baik dan bertambah tinggi mutunya,” katanya pada majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2006 Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN), di sini, semalam.

Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada 257 kakitangan KKDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Pertahanan Awam dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Abdullah mengingatkan kakitangan awam meningkatkan kecekapan kerja kerana mereka juga pengguna atau pelanggan yang mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada jabatan kerajaan lain.

"Kalau semua ini kita ingat, Insya Allah akan berlaku keseluruhan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam," katanya.

Abdullah juga menasihatkan kakitangan awam membantu menjalankan tugas rakan sekerja yang bercuti atau bercuti sakit supaya tidak menjejaskan harapan dan keperluan pelanggan.

“Jangan bila pelanggan datang kita katakan 'Pakcik, pegawai ini dia cuti, rajin sangat cuti.' Kita mengata kawan kita buat apa. Tak elok kita mengata dia, kita kena tolong," katanya.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan turut mengulangi penjelasan mengenai peratusan kenaikan gaji lebih tinggi kepada kakitangan awam kumpulan rendah.

Katanya, kekurangan wang akan menyebabkan seseorang itu risau dan boleh menimbulkan masalah lain sehingga menjejaskan tumpuan kepada tugas.

"Tindakan yang diambil ialah untuk membolehkan pegawai kerajaan, terutama peringkat bawah, memiliki pendapatan perbelanjaan atau 'disposable income' lebih daripada dulu," katanya.

Abdullah berkata, kerajaan juga sudah meningkatkan kempen dan penguatkuasaan bagi menjamin harga barang tidak dinaikkan daripada paras semasa yang dianggap munasabah supaya tidak membebankan rakyat.

Katanya, beliau percaya peniaga mendapat keuntungan tambahan jika mengekalkan harga barang kerana lebih ramai mampu membeli.

No comments: