04 June 2007

Sistem OSC perlu 533 kakitangan

Utusan Online


Oleh: MD. ZAN SAARI

MELAKA 3 Jun – Berita baik kepada graduan yang masih menganggur dan mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memerlukan seramai 533 kakitangan di peringkat pegawai dan sokongan bagi mengisi pelbagai jawatan ekoran pelaksanaan sistem pusat setempat (OSC) di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, daripada jumlah itu, 127 jawatan itu adalah bagi mengisi kekosongan jawatan Pegawai Perancang untuk gred J48, J44 dan J41 manakala 39 tempat lagi jawatan Penolong Pegawai Perancang Bandar dan Desa bagi gred J29.

‘‘Kementerian telah mendapat kelulusan secara prinsip daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengisi jawatan tersebut sebelum diagihkan ke seluruh negara untuk membantu pelaksanaan sistem OSC ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat projek tebatan banjir bandar raya Melaka oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Zaini Md. Nor di sini baru-baru ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Di samping itu, kata Ka Ting, pelaksanaan sistem OCS turut memerlukan tambahan Pembantu Teknik dan sehingga kini sebanyak 152 jawatan berkenaan telah diluluskan untuk diisi.

Sebanyak 14 kekosongan untuk jawatan Juruteknik Perancangan Bandar dan Desa gred J17 juga telah diluluskan untuk diisi.

‘‘Kita juga memerlukan 49 calon lagi bagi mengisi jawatan juruteknik dalam gred tersebut yang telah diluluskan JPA. Manakala selebihnya ialah untuk jawatan Pembantu Tadbir,” jelas beliau.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan akan melatih tenaga kerja baru terbabit sebelum mereka ditempatkan di pejabat-pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Katanya, semua PBT di negara ini dikehendaki melaksanakan OSC menjelang pertengahan bulan depan kerana kerajaan telah memberikan masa selama dua bulan untuk mereka membuat persiapan.

Sementara itu, jelas Ka Ting, beliau berpuas hati dengan kerajaan negeri Melaka yang melaksanakan sistem tersebut lebih awal.

No comments: