04 June 2007

Lima rekrut konstabel polis berkelulusan sarjana, PhD

Utusan Online

MUAR 3 Jun - Ekoran minat yang mendalam untuk berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, lima pemuda berkelulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD) sanggup menjadi rekrut konstabel polis di Maktab Teknik PDRM Bakri, dekat sini.

Komandan Maktab Teknik PDRM Bakri, Datuk Zakaria Yusof berkata, mereka sanggup berbuat demikian selepas permohonan untuk mendapat tempat dalam pengambilan jawatan inspektor baru-baru ini, gagal.

“Kelima-lima mereka benar-benar berminat menganggotai pasukan polis dan mereka bersedia menerima jawatan konstabel dalam pasukan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Forum Perdana Hal Ehwal Islam, di padang kawad maktab itu malam tadi.

Forum sempena ulang tahun ke-200 PDRM yang akan disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu dianjurkan bersama maktab itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), RTM dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Zakaria berkata, kehadiran kelima-lima mereka yang merupakan antara 500 rekrut konstabel di pusat itu membuktikan profesion kepolisan kini semakin mendapat tempat di kalangan pemuda termasuk mereka yang berkelulusan tinggi.

“Kita menerima permohonan yang cukup memberangsangkan pada setiap kali pengambilan rekrut baru termasuk daripada kalangan mereka yang berkelulusan tinggi. Keadaan ini berbeza masa lalu di mana minat golongan muda terhadap kerjaya polis amat berkurangan,” katanya.

Katanya, peningkatan minat itu berlaku antara lain kerana tawaran gaji yang lebih baik dan kemudahan lain yang diberikan kerajaan termasuk kenaikan pangkat.

Terdahulu, Zakaria menasihati pegawai dan anggota polis supaya menambah ilmu pengetahuan termasuk mendalami bidang keagamaan sebagai panduan ketika bertugas.

“Saya percaya dengan adanya majlis seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi pengetahuan Islam kita sekali gus mewujudkan warga PDRM yang berupaya memberikan perkhidmatan yang telus dan memenuhi aspirasi pasukan,” katanya.

– Bernama

No comments: