06 June 2007

Guru sarjana dakwa dasar JPA tidak adil

Berita Harian

SEBAGAI pendidik, saya ingin menyokong pandangan ‘Cikgu Kecewa’ dari Johor Bahru. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) patut permudahkan syarat untuk guru naik ke Gred DG44. Jika selama ini hanya guru bukan siswazah mendapat tempat di hati JPA dan Kementerian Pelajaran, sudah tiba masanya guru siswazah pula menyatakan pandangan daripada hati yang ikhlas.

Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) menjadikan guru siswazah tersekat untuk ke DG44. Bagi yang lulus sudah semestinya gembira tetapi bagaimana nasib mereka yang gagal tetapi sudah berkhidmat 15 tahun dan masih memegang DG41?

Persoalan ini perlu dijawab JPA sedangkan dalam perkhidmatan mereka, guru cemerlang diasak dengan pelbagai tugas.

Guru muda yang tiada komitmen mempunyai banyak waktu untuk belajar serta lulus cemerlang dan naik ke DG44 berbekalkan kelulusan PTK sedangkan tiada pengalaman luas dalam perkhidmatan perguruan.

Jadi sehingga bilakah senario ini akan berakhir? Guru senior tidak lagi berharga. Pengalaman bertugas selama ini hanya sis-sia. Begitu juga dengan guru lulusan Sarjana dan Ijazah Doktor Kedoktoran (PhD).

Tempoh perkhidmatan selama lapan tahun bukan siswazah tidak diambilkira. Bukankah ini menganiaya guru? Malah bagi mereka yang bertungkus lumus mendapatkan sarjana dan PhD dipandang sepi.

Sampai bilakah sistem pendidikan di Malaysia menghargai guru yang berjuang mendidik anak bangsa? Belajar tinggi pun salah, tidak ada kelulusan pun salah.

GURU SARJANA KECEWA,
Johor Bahru.

1 comment:

labview1958 said...

Guru yang ada sarjana dan PhD boleh menjadi pensyarah di maktab perguruan.