03 June 2007

Kesatuan kecewa agensi tak sepakat

Berita Harian

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA LUMPUR: Majlis Kesatuan Agensi Yang Diasingkan kecewa kerana belum menerima maklum balas daripada majikan berhubung cadangan mempertimbangkan pelarasan gaji dan kenaikan elaun sara hidup (Cola) kakitangannya.


Pengerusinya, Mohd Noor Abdullah, berkata setakat ini hanya Perkeso tampil menyokong hasrat kesatuan, manakala Tabung Haji menunjukkan minat kemungkinan menaikkan Cola kepada kakitangannya.

“Kita kecewa kerana beberapa agensi seperti tidak berminat dengan hasrat kesatuan membela kebajikan pekerja mereka dan tidak tampil memberi sokongan atau maklum balas berhubung cadangan itu.

“Justeru, kesatuan bercadang mengadakan pertemuan dengan semua agensi terbabit dalam tempoh terdekat bagi membincangkan lebih lanjut perkara ini kerana usaha ini untuk kebaikan semua pihak dalam agensi terbabit,” katanya semalam.

Kesatuan itu mewakili kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Akhbar minggu lalu, melaporkan Mohd Noor sebagai berkata, kesatuan mahu majikan menyelaras dan membuat semakan gaji serta menaikkan Cola seperti sektor awam berikutan kenaikan gaji sektor awam.

Cadangan itu turut menarik perhatian Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman kerana perkhidmatan kakitangan lima agensi itu setaraf sektor awam dan sepatutnya menerima kenaikan gaji sama.

Mohd Noor berkata, pekerja dan kakitangan di bawah agensi juga perlu menikmati pelarasan gaji kerana perkhidmatan mereka sama seperti pekerja sektor awam, malah majikan agensi terbabit dilihat mampu menanggung kenaikan gaji dan Cola.

No comments: