Kakitangan kontrak patut diutama isi kekosongan
Berita Harian
SAYA ingin mengucapkan syabas kepada Omar Osman, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang tidak pernah jemu memperjuangkan nasib kakitangan awam.
Sebagai kakitangan awam kontrak, saya terharu dengan kenyataan beliau dalam akhbar 8 Jun lalu yang menggesa kerajaan supaya mengisi kekosongan jawatan dengan kakitangan kontrak.
Walaupun sudah lebih lima tahun berjawatan kontrak dalam pentadbiran awam, belum pernah saya mendengar nasib kami diperjuangkan.
Saya berharap cadangan untuk menyerapkan kakitangan kontrak wajar diutamakan seperti yang diminta oleh Presiden Cuepacs itu.
Sekiranya kerajaan tidak dapat menyerap terus kakitangan kontrak, adalah wajar diwujudkan satu cara untuk mengutamakan kakitangan kontrak yang berpotensi untuk mengisi jawatan kosong kerajaan.
Saya berharap kerajaan dapat mengkaji dengan sebaik-baiknya cadangan ini kerana pengalaman yang dimiliki oleh kakitangan kontrak adalah sama seperti pengalaman yang dimiliki oleh kakitangan tetap kerajaan.
IZIANA MUKHTAR,
Presint 9, Putrajaya.
1 comment:
Setuju.
Post a Comment