Gaji naik: Kurangkan kerja sampingan
Utusan Online
Oleh ROZAMAN ISMAIL
PUTRAJAYA 4 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi percaya kenaikan gaji pada kadar yang lebih besar bagi kumpulan berpangkat rendah dapat mengurangkan kakitangan awam kumpulan berkenaan melakukan kerja-kerja sampingan yang boleh menjejaskan produktiviti kerja.
Beliau berkata, kerajaan sengaja meningkatkan kadar kenaikan gaji pegawai pangkat rendah dengan peratus yang lebih kerana menyedari ramai yang terpaksa melakukan kerja-kerja sampingan bagi mencari pendapatan tambahan.
‘‘Saya tahu ada anggota kerajaan terutama yang ada anak ramai terpaksa bekerja malam, menjual nasi lemak, membuka gerai mi, goreng pisang, cucur badak, semuanya kerana nak cari pendapatan halal.
‘‘Saya hormati mereka kerana rajin berusaha dan kerana perasaan kasih sayang kepada keluarga mereka berkewajipan mencari rezeki. Malah ada juga para isteri yang terpaksa bekerja untuk menambah pendapatan.
‘‘Tetapi saya percaya dengan keadaan ini (kenaikan gaji) kegiatan-kegiatan itu dapat dikurangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, ini kerana kalau mereka bekerja sehingga lewat malam sudah tentu mereka akan keletihan keesokannya dan keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan produktiviti kerja.
‘‘Justeru sekiranya dirasakan sekarang sudah tidak perlu lagi sebab pendapatan bulanan yang diperoleh sudah tinggi, maka kerja sampingan itu tidak payahlah dilakukan lagi.
‘‘Kalau terpaksa juga tak payahlah sampai tengah malam, sampai teruk badan. Ini adalah nasihat ikhlas saya kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Perdana Menteri berharap, kenaikan gaji yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi kelegaan dalam banyak perkara kepada anggota kerajaan khususnya yang perlu membayar ansuran rumah, kereta serta bayaran- bayaran lain.
Apa yang lebih penting kata beliau, ialah bijak menguruskan wang ringgit, berhati-hati serta berhemat dalam perbelanjaan kerana amalan berbelanja tanpa had boleh mendatangkan pelbagai masalah.
Menurut Abdullah lagi, kerajaan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan harga barang tidak dinaikkan supaya mereka yang memperoleh tambahan gaji akan dapat menikmati faedah kenaikan itu.
‘‘Kita berusaha supaya kenaikan harga barang tidak berlaku dan dengan itu perbelanjaan untuk keperluan dahulu yang tidak dapat dibeli akan dapat dibeli sekarang. Kalau harga tak naik, mereka yang sekarang mampu membeli satu-satu barang itu akan terus boleh membeli dan pihak yang menjual pula akan dapat keuntungan lebih besar lagi,” katanya.
Sementara itu Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan untuk memberi kenaikan gaji kepada kakitangan awam adalah satu keputusan yang wajar walaupun banyak pihak masih mempersoalkan mutu sistem penyampaian perkhidmatan awam.
‘‘Dulu ada orang persoalkan, adakah perlu dibayar gaji lebih sedangkan sistem penyampaian khidmat awam masih menjadi perkara yang tak disenangi oleh rakyat.
‘‘Dalam keadaan lebih senang dan selesa ini, saya percaya kakitangan awam dapat terus memberi tumpuan dan perhatian kepada kerja dan sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan serta produktiviti agar perkhidmatan awam menjadi lebih efisien,” katanya.
No comments:
Post a Comment