Cuepacs pertikai rekod kelulusan PTK
Berita Harian
Kesatuan dakwa peluang naik gaji, pangkat masih terhad
KUALA LUMPUR: Cuepacs menolak penjelasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pelaksanaan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan mempersoalkan rekod kelulusan 70 peratus kakitangan awam yang menduduki peperiksaan itu.
KUALA LUMPUR: Cuepacs menolak penjelasan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pelaksanaan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan mempersoalkan rekod kelulusan 70 peratus kakitangan awam yang menduduki peperiksaan itu.
Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs tetap dengan pendiriannya supaya kerajaan memansuhkan PTK kerana berdasarkan rekod kesatuan itu, kurang 50 peratus kakitangan awam lulus dan kebanyakannya pula membabitkan kumpulan profesional,
“Kalau benar rekod 70 peratus lulus, kami ingin tahu kumpulan mana yang mendapat kelulusan, anjakan gaji dan kenaikan pangkat. Setakat lulus saja tidak ada makna kalau peluang kenaikan pangkat dan gaji masih terhad,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam kelmarin bahawa PTK yang dilaksanakan sejak 2003, tidak akan dimansuhkan kerana prestasi kakitangan awam perlu dinilai sebelum diberi kenaikan pangkat.
Ismail berkata, berdasarkan rekod JPA 70 peratus kakitangan yang menduduki PTK lulus, tetapi jabatan dan badan berkanun diberi kelonggaran merangka sistem penilaian sendiri untuk mengukur tahap kecekapan kakitangan masing-masing.
Malah, Ismail menegaskan semua pihak termasuk Cuepacs sebelum ini bersetuju dengan pelaksanaan PTK ketika perbincangan diadakan pada 2001.
Omar bagaimanapun mendakwa, PTK tidak mencapai matlamat kerana sesetengah jabatan menetapkan kuota kenaikan pangkat dan anjakan gaji.
“Soalan yang disediakan pula tidak relevan dan sesuai dengan kerjaya, terutama bagi Kumpulan Sokongan I dan II,” katanya,
Beliau juga meminta JPA memperjelaskan lagi kelonggaran untuk setiap jabatan merangka sistem penilaian sendiri.
“Kita ingin tahu kelonggaran bagaimana. Keluarkan pekeliling atau beri taklimat dan penerangan yang tepat kepada semua agensi kerajaan.
Kita tidak mahu wujud percanggahan. Dalam taklimat yang diberi kata lain, bila ditanya kembali. Jawapan yang diberi berlainan pula,” katanya.
Omar berkata, Cuepacs akan mengadakan mesyuarat pada minggu ketiga bulan ini bagi membincangkan isu itu. “Kita akan menentukan tindakan selanjutnya, termasuk tidak menolak kemungkinan memboikot PTK,” katanya.
Beliau berkata, peperiksaan PTK bagi Kumpulan Profesional mungkin tidak menimbulkan masalah kerana golongan itu diberi kursus antara dua hingga tiga minggu. Bagaimanapun, kumpulan sokongan memerlukan satu sistem yang lebih berkesan dan sesuai dengan kerjaya mereka.
Katanya, Cuepacs akan terus memperjuangkan Sistem Pengembangan Profesional Berterusan (CPD) bagi menggantikan PTK, yang dilihat lebih berkesan kerana penilaian dibuat dari semua aspek berdasarkan komitmen dan produktiviti pekerja sepanjang perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment