07 June 2007

PTK tak wajar jadi syarat naik pangkat

Berita Harian

SAYA bersetuju dengan keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meneruskan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dalam menilai tahap kompetensi pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam.

PTK sebenarnya berupaya melahirkan anggota perkhidmatan awam yang lebih berpengetahuan dan cekap dalam menjalankan tugas mereka. Saranan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya sistem ini dimansuhkan sepenuhnya adalah ibarat memutar jarum jam ke belakang.

Namun PTK juga mempunyai beberapa kelemahan asas yang menjadi punca ketidakpuasan hati anggota perkhidmatan awam. Kelemahan utama ialah ia tidak mengiktiraf tempoh perkhidmatan atau tempoh perkhidmatan seseorang anggota perkhidmatan awam dalam proses pertimbangan kenaikan pangkat atau pemangkuan jawatan lebih tinggi.

Pegawai baru berkhidmat berpeluang mendapat kenaikan pangkat dan menikmati gaji serta elaun berkaitan sama seperti pegawai yang jauh lebih senior asalkan mereka lulus PTK. Sebagai contoh, ada pegawai yang memasuki perkhidmatan pada 2002 memangku jawatan sama dengan pegawai yang menyertainya pada 1996 sedangkan dari segi senioriti ada perbezaan enam tahun.

Kegagalan sistem PTK mengiktiraf tempoh perkhidmatan dan pengalaman inilah yang menyebabkan ramai anggota perkhidmatan awam tidak puas hati. Penentangan terhadap sistem ini bukan disebabkan oleh peperiksaan yang terpaksa diduduki.

Malah, mengambil peperiksaan bagi tujuan pertimbangan kenaikan pangkat menjadi amalan biasa anggota perkhidmatan awam.

Bagi mengatasi masalah ini, saya mencadangkan JPA supaya menetapkan tempoh perkhidmatan sebelum seseorang pegawai dan anggota layak menduduki PTK.

Dengan ini, perasaan tidak puas hati pegawai senior dapat diatasi dan perkhidmatan awam itu sendiri akan mendapat pegawai yang berpengalaman dan cukup pendedahan untuk menjawat jawatan lebih tinggi.

Secara tidak langsung, kualiti kerja dapat dipertingkatkan kerana pegawai dinaikkan pangkat cukup terlatih. PTK juga mempunyai kesan negatif ke atas produktiviti perkhidmatan awam. Anggota yang baru berkhidmat lebih cenderung menyiapkan diri bagi menduduki peperiksaan atau kursus PTK.

Mereka begitu ghairah ‘mengejar’ anggota yang lama berkhidmat. Akibatnya, tumpuan kepada tugas harian terganggu kerana kesibukan mencari dan menelaah bahan bacaan ketika di pejabat. Dalam jangka panjang, situasi seperti ini boleh menjejaskan sistem penyampaian kerajaan walaupun pelbagai teknologi dan peralatan canggih digunakan.

Sebagai penyelesaian kepada kelemahan ini, saya ingin mencadangkan supaya kenaikan pangkat anggota perkhidmatan awam dibuat berdasarkan laporan sulit pegawai atasan atau ketua jabatan dengan syarat yang ditetapkan.

PTK hanya digunakan untuk pertimbangan anjakan gaji. Ini bermakna, anggota berhasrat mendapat anjakan gaji, wajib lulus PTK, selain mendapat laporan prestasi tahunan yang cemerlang.

Dengan ini, tumpuan terhadap tugas harian tidak terganggu kerana PTK tidak mempengaruhi syarat kenaikan pangkat. Ia dapat memastikan hanya mereka benar-benar rajin, jujur dan ikhlas saja mendapat peluang kenaikan pangkat.

PTK perlu dikekalkan, tetapi syarat menduduki peperiksaan atau kursus berkenaan perlu ditetapkan terutama dari segi tempoh perkhidmatan. Selain itu, PTK tidak harus dijadikan syarat kenaikan pangkat kerana mereka yang bijak dalam peperiksaan belum tentu bijak dalam menjalankan tugas.

PEGAWAI TUA,
Kota Kinabalu, Sabah.

No comments: