08 June 2007

Kaji mendalam pelaksanaan sistem PTK

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahu Cuepacs melihat pelaksanaan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) secara keseluruhan sebelum mempersoalkan rekod kelulusan 70 peratus kakitangan awam yang menduduki peperiksaan itu.

Ketua Komunikasi Korporatnya, Hasniah Rashid, berkata Cuepacs perlu memahami bahawa kenaikan pangkat bukan saja dinilai daripada PTK tetapi juga syarat lain seperti merit, kekosongan jawatan serta lulus keutuhan peribadi.

“Mana-mana kakitangan yang disyorkan kenaikan pangkat pula namanya akan dihantar ke Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memastikan individu berkenaan bersih,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di sini semalam.

Cuepacs sebelum ini mempertikaikan penjelasan JPA berhubung pelaksanaan sistem PTK dan rekod kelulusan 70 peratus kakitangan awam yang menduduki peperiksaan itu.

Presidennya, Omar Osman, berkata Cuepacs tetap dengan pendirian supaya kerajaan memansuhkan PTK kerana berdasarkan rekod kesatuan itu, kurang 50 peratus kakitangan awam lulus dan kebanyakannya pula membabitkan kumpulan profesional.

Katanya, jika benar rekod JPA bahawa 70 peratus kakitangan awam lulus, ia tidak bermakna jika setakat lulus saja dan tidak diberi peluang kenaikan pangkat dan gaji.

Hasniah menjelaskan ada dua cara kenaikan gaji iaitu pergerakan gaji biasa dan secara anjakan.

“Pergerakan gaji biasa ialah melalui laporan prestasi yang baik manakala anjakan gaji pula memenuhi syarat lulus PTK dengan cemerlang, laporan prestasi yang baik dan diperakui ketua jabatan.

“Ada kes kakitangan yang lulus cemerlang PTK tetapi ketua jabatan tidak mengesyorkan namanya untuk kenaikan pangkat. Dengan itu, panel Sumber Manusia tidak dapat memberikan kenaikan pangkat kepada individu terbabit,” katanya.

1 comment:

Daud Awang said...

buat je PTK dalam bentuk temuduga atau oral exam...itu lagi nampak ketelusan..