09 September 2007

Sebab tiada bonus


Kerajaan agih dana tingkat sosioekonomi di luar bandar

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak mengumumkan bonus ketika pembentangan Bajet 2008 kelmarin kerana mahu memastikan dana digunakan sepenuhnya untuk faedah rakyat terutama dalam menangani isu sosioekonomi.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (gambar), berkata kerajaan mempunyai dana yang terhad dan perlu diagihkan untuk projek yang memberi impak maksimum kepada rakyat seperti projek di pedalaman, membekalkan air ke kampung atau menangani kadar kemiskinan bandar.

Katanya, tanpa bonus, kakitangan awam masih mendapat habuan berdasarkan pengiraan kadar kenaikan gaji bagi tempoh enam bulan mulai 1 Julai lalu, menyamai dua hingga empat bulan bonus.

"Mereka yang mendakwa Bajet 2008 sebagai bajet pilihan raya tentu terkejut dan bertanya mengapa kerajaan tidak umumkan bonus.

"Ini adalah kerajaan bertanggungjawab dan kadar dana yang kita miliki terhad. Ini bukan isu beri bonus atau tidak (kepada kakitangan awam), ia sebenarnya bagaimana menggunakan dana untuk faedah maksimum negara," katanya pada sidang akhbar khas selepas pembentangan Bajet 2008 kepada media tempatan di pejabatnya di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membentangkan Bajet 2008 yang antara lain menetapkan pendidikan percuma pada peringkat rendah dan menengah, selain memperluaskan skim pinjaman buku teks.

Nor Mohamed berkata, penjawat awam sentiasa dekat dalam hati kerajaan malah sumbangan mereka dihargai dengan pengumuman kenaikan gaji 1 Julai lalu.

"Jika diambil kira kadar kenaikan gaji sejak bulan lalu hingga akhir tahun ini, kumpulan berpendapatan rendah menerima kenaikan hampir empat bulan bonus dan ramai yang lain (dalam kumpulan lain) mendapat kenaikan umpama dua bulan bonus," katanya.

Nor Mohamed berkata, Bajet 2008 membuktikan kerajaan bertanggungjawab dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan, bukannya merangka bajet khusus untuk pilihan raya.

"Sungguhpun ada yang berpendapat ini bajet pilihan raya sebab mereka ingat tahun depan kita akan adakan pilihan raya.

"Dari satu sudut, semua bajet tiap-tiap tahun adalah bajet pilihan raya kerana tujuan kita untuk membolehkan rakyat mendapat nikmat daripada bajet... Itu tujuan murni kita dan dari segi itu, kalau kita bantu rakyat dan dianggap sebagai bajet pilihan raya (maka) bajet pilihan rayalah ia," katanya.

Beliau berkata, walaupun Bajet 2008 menunjukkan kerajaan memberi peruntukan banyak untuk pelbagai bidang, namun kadar defisit yang direkodkan makin menurun.

"Tapi kita nampak dari bajet ini, walaupun kerajaan beri peruntukan banyak untuk pelbagai bidang tapi pada masa sama, defisit makin menurun dari 5.5 peratus pada 2000, setapak demi setapak kita turunkan hingga 3.3 peratus tahun lalu.

"Kita yakin akan turun kepada 3.2 peratus tahun ini dan tahun depan 3.1 peratus. Ini menunjukkan kerajaan begitu berhemat dalam perbelanjaan dan bertanggungjawab, bukan semata-mata membuat bajet pilihan raya dengan perbelanjaan lebih... Kita berhemat dan defisit makin menurun," katanya.

Mengulas keputusan kerajaan menawarkan semua Ketua Setiausaha (KSU) dan ketua perkhidmatan atau Ketua Pengarah skim kontrak selama tiga tahun dengan ganjaran diberi berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), Nor Mohamed berkata:

"Sebelum ini, KSU dan Ketua Pengarah dilantik apabila usianya mencecah 55 tahun... Jadi lazimnya dia akan hanya ada 11 bulan sebelum menamatkan perkhidmatan.

"Sehubungan itu, individu terbabit tidak pasti sama ada kontraknya akan disambung atau terus pencen selepas tempoh 11 bulan berakhir. Dalam keadaan ini, bagaimana dia mahu membuat perancangan atau pelan tertentu, atau membuat susulan? Sebab semuanya dia tidak pasti."

Nor Mohamed berkata, keputusan kerajaan menawarkan skim kontrak selama tiga tahun kepada KSU dan Ketua Pengarah amat adil bagi membolehkan mereka merancang agenda kementerian masing-masing.

"Jadi, sesiapa yang dilantik akan tahu dia ada tempoh tiga tahun untuk merancang dan menunjukkan prestasi. Dalam tempoh ini, sesiapa yang tidak menunjukkan prestasi sudah tentu akan diminta berhenti. Tempoh tiga tahun adalah cukup panjang dan dia juga tahu perlu patuhi KPI," katanya.

2 comments:

Anonymous said...

TERLEBIH DAHULU, ucapan jutaan terima kasih kepada kerajaan yang amat prihatin dalam membela nasib kakitangan awam, juga cuepacs yang bekerja keras memastikan kenaikan gaji lebih sejuta kakitangan awam kini terealisasi.

Namun isu bayaran bonus untuk tahun 2007 ini adalah satu isu lain selain daripada bayaran kenaikan gaji dan ia tidak wajar dilihat sebagai beri betis hendakkan peha pula. Mari kita lihat sudut mana betapa perlunya kakitangan peringkat rendah ini perlukan bonus tersebut.

Alhamdulillah, kakitangan rendah seperti saya ini menikmati lebihan gaji kira-kira RM350 dari gaji pokok asal RM1000. Namun dengan kedatangan bulan Ramadhan dan Syawal ini kenaikan RM350 sekadar mampu menyerap "kekurangan" dalam menampung kos sara hidup sebelum ini. Sementelah bagi saya yang mendiami kuarters Kementerian Pelajaran Malaysia, bukan sahaja kehilangan semua elaun perumahan malahan hilang sebahagian daripada wang Cola bernilai RM100 itu.

Ia ternyata jauh untuk membantu kami "melegakan" beban tanggungan perbelanjaan sepanjang bulan puasa apatah lagi hari raya. Ikhlas kata, pemberian bonus walau sedikit sebanyak amat kami perlukan dalam melegakan dua musim mendatang ini iaitu hari raya dan musim anak naik ke sekolah.

Mungkin berbeza bagi pegawai atasan yang memiliki pendapatan lebih RM4000 sebulan yang melihat isu bonus sebagai "dapat ok, tak dapat pun tak apa", tetapi kami kakitangan awam rendah ini sangat-sangat memerlukan pemberian insentif tersebut.

Kepada pemimpin negara yang kami sayangi, terima kasih di atas kenaikan gaji sebelum ini, namun renung-renungkanlah nasib kami di bawah ini. Kami faham kerajaan telah mengeluarkan perbelanjaan besar ketika membayar kenaikan gaji kami tempohari, namun pemberian bonus ini tetap kami perlukan dan kami tunggu.

Semoga Malaysia terus maju dan makmur, dan pemimpin negara kita terus diberikan kekuatan, kesihatan dan hidayah dari Allah untuk mentadbir negara, amin.

Unknown said...

saya bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh penulis di atas. Pemberian bonus sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang sentiasa dihadapi di awal tahun terutama ibu bapa yang mempunyai tanggungan yang ramai. mungkin ramai yang memandang isu kenaikan gaji, lebih-lebih lagi masih panas diperkatakan iaitu bulan Julai yang lepas, tetapi perangkaan yang dibuat adalah sebelum kenaikan harga barang dan keperluan lain. Bayangkan kenaikan sesetengah harga barang yang melambung sehingga hampir 50%. Ini menjadikan kenaikan gaji baru-baru ini memberi kesan yang besar terutamanya yang berpendapatan rendah dan sederhana.