JANGAN ROSAKKAN BUDAYA KERJA SEKTOR AWAM
Utusan Online
LIDAH PENGARANG
PENDEDAHAN mengenai salah urus dana awam oleh beberapa kementerian seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 sewajarnya diberi perhatian oleh semua pihak.
Ini kerana ia memberi gambaran awal tentang wujudnya penyelewengan dalam membelanjakan wang rakyat – semestinya untuk kepentingan diri sendiri.
Rakyat sebagai ‘penyumbang modal’ projek-projek kerajaan semestinya tidak senang apabila mendapati wang mereka dibelanjakan sedemikian rupa. Walau apa pun penjelasan atau jawapan yang disediakan oleh jabatan atau pihak yang berkenaan, ia pasti tidak akan diterima begitu sahaja.
Bayangkanlah setiap barangan dibeli bukan sekali ganda daripada harga asal sebaliknya berganda-ganda. Ia sesungguhnya menimbulkan tanda tanya apa sudah jadi dengan sistem pemantauan di peringkat jabatan atau kementerian. Atau tidak adakah sistem seumpama itu sehingga membolehkan pemutar skru dibeli pada RM224.94 satu set berbanding harga pasaran RM40?
Begitu juga dengan kegilaan membeli kamera digital pada harga RM8,254.29 seunit berbanding RM2,990. Jenama apa agaknya kamera itu dan rumit sangatkah gambar yang hendak diambil sehingga memerlukan kamera semahal itu? Bukankah itu semua tidak masuk akal?
Begitu juga dengan penyaluran dana kepada pertubuhan bukan kerajaan yang tidak layak dan wang itu dibazirkan dengan membeli helikopter yang tidak dapat digunakan. Sedangkan dalam kes tertentu kita berhadapan dengan kekurangan peruntukan untuk membeli kemudahan yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.
Rakyat sebagai pembayar cukai pasti tertanya-tanya bagaimana pembelian peralatan pada kos yang tidak masuk akal itu boleh diluluskan begitu sahaja di peringkat ketua jabatan.
Bukankah ketua jabatan sepatutnya menggunakan kuasa yang ada untuk memeriksa harga yang dimohon untuk pembelian sesuatu peralatan sebelum memberikan kelulusan.
Bukankah setiap jabatan mempunyai juruaudit sendiri yang boleh membuat perbandingan harga di pasaran sebelum bersetuju dengan harga yang disenaraikan.
Atau mungkinkah wujud budaya ‘buta’, ‘bisu’ dan ‘pekak’ di jabatan-jabatan kerajaan sehingga tatalaku yang menyanggahi undang-undang ini dibenarkan berleluasa. Apa pun alasan serta jawapan yang diberikan oleh kementerian yang berkenaan kelak hendaklah masuk akal dan bukannya sekadar menyahut gesaan pucuk pimpinan.
Kita tidak mahu setiap kali laporan audit negara dikeluarkan masih ada ‘rasa tidak puas hati’ terutama dalam soal perbelanjaan yang dibuat secara tidak berhemah. Jabatan-jabatan kerajaan seolah-olah tidak belajar daripada pendedahan demi pendedahan mengenai salah laku kakitangan mereka sehingga mereka mesti ditegur setiap tahun.
Paling penting mereka yang bersalah menyalahguna wang rakyat atas alasan apa sekalipun mesti dikenakan hukuman yang setimpal.
No comments:
Post a Comment