12 September 2007

PM akan umum keputusan tuntutan bonus

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Keputusan berhubung tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk bonus atau sagu hati sebanyak RM2,000 akan diputuskan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai maklumat bila keputusan itu akan dibuat oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan.

“Itu saya tak tahu. Perdana Menteri pun dah balik (daripada Sydney),” katanya selepas merasmikan Seminar Persatuan Penerbit Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) 2007 di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Kiara dekat sini, semalam.

Kelmarin, Presiden Cuepacs, Omar Osman dilaporkan berkata pihaknya akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, menuntut pembayaran bonus atau sagu hati sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan.

Beliau yakin kerajaan akan memenuhi tuntutan itu kerana kerajaan sebelum ini tidak pernah menolak permintaan Cuepacs.

Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat, katanya, Cuepacs yakin kerajaan akan menimbang secara terperinci tuntutan itu kerana memahami dilema kumpulan sokongan yang berdepan masalah peningkatan kos sara hidup.

Dalam pada itu, Nor Mohamed berkata, semua jabatan dan kementerian sudah diarah menyediakan laporan berhubung pendedahan isu salah urus dana awam yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

“Semua kementerian termasuk Kementerian Kewangan dan pihak terbabit sudah diarah untuk mengkaji isu ini. Kalau boleh kita nak selesaikannya secepat mungkin,” katanya.

Laporan Audit Negara 2006 yang dikemukakan di Parlimen, Jumaat lalu, mendedahkan kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk dalam pembelian pelbagai barang serta peralatan.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, meminta semua kementerian berkaitan menjawab teguran Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berhubung salah urus dana awam, termasuk dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak.

No comments: