Gempar kiriman antraks
Berita Harian
Oleh Azrina Ahzan dan Mohd Hamizar Hamid
Ketua Protokol Wisma Putra terima serbuk putih dikuarantin
PUTRAJAYA: Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya semalam gempar selepas seorang pegawai kanan Wisma Putra memaklumkan beliau menerima bungkusan dipercayai mengandungi bakteria antraks.
Ketua Protokol Wisma Putra, Datuk Zakaria Sulong, dan anggota keluarganya yang menjalani pemeriksaan di hospital itu tengah malam semalam, dikuarantinkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Jabatan Kecemasan hospital itu juga ditutup kepada orang ramai sejak 1 pagi semalam sebelum dibuka semula tengah hari semalam.
Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya membuka bungkusan itu di rumahnya di Presint 11 di sini, kira-kira jam 10 malam selepas selesai menunaikan solat Tarawih.
Ketika membuka bungkusan itu mangsa mendapati ia mengandungi serbuk putih. Beliau terus memasukkan bungkusan itu ke dalam bekas apabila mengesyaki sesuatu tidak kena.
Selepas dimaklumkan, polis terus menghantar Pasukan Hazmat ke rumah mangsa sebagai langkah berjaga-jaga, katanya sambil menambah sampel serbuk itu dihantar ke Institut Penyelidikan Haiwan (VRI) di Ipoh, Perak, untuk diuji.
Antraks adalah bakteria Bacillus Anthracis yang berjangkit dan menyerang haiwan berdarah panas, termasuk manusia. Tahap keracunan bakteria itu amat tinggi sehingga ia juga digunakan sebagai senjata biologi sejak 80 tahun lalu.
Sementara itu, sumber berkata, sebanyak tiga bungkusan dihantar ke Wisma Putra, kelmarin iaitu masing-masing kepada Ketua Setiausaha, Timbalan Ketua Setiausaha, dan Zakaria oleh sebuah kedutaan asing di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, hanya Zakaria yang sudah membuka bungkusan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Ismail Merican, ketika dihubungi petang semalam mengesahkan serbuk putih dalam bungkusan yang berisi halwa itu bukan antraks.
Sebenarnya tidak apa-apa, ia hanya serbuk dalam bungkusan halwa, katanya.
Berikutan itu, Zakaria dan keluarganya dibenarkan pulang petang semalam.
No comments:
Post a Comment