PM persoal pegawai kerajaan lulus tender harga tinggi
Utusan Online
KUCHING 11 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempersoalkan tindakan pegawai kerajaan yang meluluskan tender dengan harga tinggi dalam pembelian peralatan tertentu oleh beberapa kementerian seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara, baru-baru ini.
Perdana Menteri yang hairan dengan perkara itu berkata, pihak yang berkaitan diarah memberi penjelasan mengapa pegawai-pegawai kerajaan membazirkan wang rakyat membeli peralatan dengan harga yang melampau berbanding dengan harga pasaran yang jauh lebih murah.
“Itu (tender pada harga yang tinggi) menimbulkan persoalan. Semasa mesyuarat jemaah menteri yang terakhir sebelum saya berangkat ke luar negera (untuk menghadiri persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) baru-baru ini, saya telah mengarahkan semua jemaah menteri supaya menghalusi laporan Ketua Audit Negara 2006.
“Selepas itu pastikan apa juga persoalan yang ditimbulkan oleh pihak audit diberi penjelasan sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Abdullah mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz yang mahukan tindakan tegas diambil terhadap para pegawai kerajaan yang meluluskan tender pada tawaran harga tidak munasabah.
Kenyataan Rafidah itu adalah sebagai mengulas laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang yang mengkritik beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan tertentu.
Laporan itu antara lain menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada harga yang melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.
Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 sebuah berbanding harga pasaran cuma RM50 sebuah.
KBS juga didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berharap kerajaan Sarawak dan Sabah yang masing-masing menerima peruntukan RM4 bilion di bawah Bajet 2008, menggunakan wang tersebut untuk melaksanakan segala projek pembangunan yang dirancang.
No comments:
Post a Comment