11 September 2007

Tiga kementerian jawab dakwaan salah urus dana

Berita Harian


Masalah teknikal, kekeliruan dipercayai antara punca teguran

KUALA LUMPUR: Tiga kementerian tampil memberikan penjelasan dan mempertahankan beberapa perkara yang ditegur Ketua Audit Negara berhubung salah urus dana awam, termasuk dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak.

Kementerian berkenaan menjelaskan ada beberapa perkara yang ditegur Ketua Audit Negara itu berlaku kerana masalah teknikal, salah faham serta kekeliruan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said, berkata pembelian sejumlah peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) yang menyebabkan kerajaan kerugian RM8.39 juta, berlaku pada 2002 ketika beliau belum menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Saya dimaklumkan Ketua Setiausaha kementerian bahawa kontrak itu dianugerahkan pada 2002 menerusi Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8). Ketika itu, banyak rundingan terus dikeluarkan dan dalam kes ini PMC (Perunding Pengurusan Projek) dilantik.

“Apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, isu PMC ditamatkan dan menerusi RMK-9, tiada lagi kontrak dibuat menerusi PMC,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan misi pendakian solo 50 puncak Kinabalu di Kundasang, Sabah, semalam.

Azalina yang dilantik Menteri Belia dan Sukan selepas pilihan raya umum 2003 berkata, beliau dimaklumkan kementeriannya sudah membuat penjelasan kepada Pejabat Peguam Negara berhubung isu terbabit.

Laporan Ketua Audit Negara menyebut, KBS membeli 13 peralatan dan kelengkapan bagi IKBN dengan harga semua barang itu dilaporkan melebihi harga pasaran sehingga kerajaan menanggung kerugian RM8.39 juta.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata beliau akan menyiasat mengenai teguran yang dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 berhubung kementeriannya .

Katanya, langkah itu selaras dengan kehendak Kabinet yang mahu setiap teguran daripada Laporan Ketua Audit Negara diteliti dan di ambil tindakan segera.

“Biasanya, laporan audit itu ada mem-beritahu agensi mana yang tidak dapat mematuhi dan tindakan sesuai yang kita boleh ambil. Maka kita bertindak berdasarkan maklumat ini untuk perbaiki kelemahan,” katanya.

Sementara itu, KSU Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Faizah Mohd Tahir berkata, beliau tidak sewenang-wenangnya membuat kelulusan tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Katanya, prosedur pemberian bantuan khas kepada 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah RM3.8 juta antara 2004 hingga Mac 2006 adalah mengikut dua peringkat jawatankuasa sebelum ia diluluskan.

“Peringkat pertama ialah Urus Setia Jawatankuasa Perakuan Bantuan Khas yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha 1 kementerian yang dianggotai wakil daripada agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berperanan memperakukan semua permohonan yang sudah diteliti.

“Peringkat kedua ialah Jawatankuasa perakuan Bantuan Khas (JPBK) yang dipengerusikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang berperanan memberi sokongan ke atas perakuan yang dibuat Urus Setia berkenaan.

“Mengikut prosedur MS ISO 9001:2000 perakuan dan kelulusan secara edaran adalah dibenarkan di bawah perkara Memperakukan dan Meluluskan permohonan Bantuan Khas Perbendaharaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

No comments: