09 September 2007

KBS diminta jawab Laporan Ketua Audit Negara

Utusan Online

SUBANG 9 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan lain-lain kementerian berkaitan menjawab Laporan Ketua Audit Negara 2006 mengenai pembelian pelbagai peralatan melebihi harga pasaran.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penjelasan berkenaan adalah perlu bagi membolehkan orang ramai mengetahui sebab-sebab pembelian barangan pada harga berkenaan dilakukan.

``Mereka boleh menjawab dan bagi saya kementerian-kementerian yang berkaitan perlu memberi jawapan terhadap persoalan yang ditimbulkan ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Jemputan Business Times 2007 di sini hari ini.

Najib mengulas laporan yang disiarkan akhbar hari ini yang menyebut wujud pembelian peralatan yang lebih mahal berkali-kali ganda daripada nilai pasaran di lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah pentadbiran KBS.

Antaranya, membabitkan pembelian kamera digital pada harga kontrak RM8,254 sebuah berbanding harga pasaran RM2,990; pasu bunga plastik RM42.80 satu set (RM5.20) dan kren menara RM2.73 juta sebuah (RM1.45 juta).

Mengenai laporan yang menyebut Ketua Setiausaha (KSU) kementerian berkenaan telah menandatangani 11 kontrak projek IKBN yang setiap satu bernilai antara RM7.99 juta dan RM74.2 juta, Najib berkata, KSU tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Ia hanya boleh dilakukan jika dibuat secara tender bernilai kurang RM5 juta.
KSU tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kontrak secara terus kerana ia hanya boleh dibuat melalui tender atau pun keputusan Kementerian Kewangan,'' jelasnya. -Utusan

No comments: