15 September 2007

167 penjawat awam sabit dadah

Berita Harian

Oleh Hardi Effendi Yaacob

Kakitangan Kementerian Pelajaran paling ramai ditahan sejak Januari hingga Ogos 2007

KUALA LUMPUR: Kakitangan Kementerian Pelajaran mencatatkan jumlah paling ramai penjawat awam ditahan polis kerana pelbagai kesalahan dadah di seluruh negara sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

Statistik Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman menunjukkan 167 penjawat awam ditahan sepanjang tempoh lapan bulan lalu, peningkatan 37 tangkapan berbanding hanya 130 kakitangan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 39 penjawat awam adalah kakitangan Kementerian Pelajaran, berbanding 34 tahun lalu dan 30 pada 2005.

Bagaimanapun, jumlah itu hanya membabitkan penahanan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan mengedar dan memiliki dadah, tidak termasuk sembilan lagi antaranya guru yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Dadah (APD).

Baru-baru ini, empat guru di Sabah ditahan polis kerana mengedar dadah.

Pengarah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan mendapati kebanyakan penjawat awam yang ditahan itu terbabit dalam kegiatan pengedaran, selain memiliki dan menagih dadah.

Sambil menyifatkan masalah itu sebagai serius dan boleh menjejaskan imej sektor awam, beliau berkata, tindakan segera perlu diambil bagi menanganinya kerana statistik menunjukkan peningkatan setiap tahun.

"Kita perlu berikan perhatian pada masalah ini kerana penjawat awam sepatutnya berkhidmat kepada rakyat, bukannya melakukan jenayah," katanya dihubungi di Sabah, semalam.

Bagaimanapun, beliau menafikan pihaknya menjadikan kementerian atau jabatan kerajaan tertentu sebagai sasarannya.

"Kita tiada sasar mana-mana kementerian atau agensi. Semua yang ditahan dalam serbuan atau operasi biasa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha menangani masalah dadah di negara ini perlu ditumpu kepada menghapuskan bekalan dan permintaan.

"Sukar kita mahu sekat bekalan selagi ada permintaan. Dalam konteks ini, penjawat awam yang ditahan itulah yang mewujudkan permintaan. Bagaimanapun, kita akan teruskan usaha kita sehingga mencapai sasaran Dadah Sifar 2015.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dadah. Sesiapa saja terbabit dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah akan ditahan," katanya.

Mengikut peraturan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) boleh menamatkan perkhidmatan mana-mana pegawai dan kakitangan kerajaan yang disabitkan kesalahan mengedar, memiliki dan menyalahgunakan dadah, selain dihadapkan ke mahkamah.

No comments: