10 September 2007

Kementerian tak pantau laporan buku Vot

Berita Harian

KAWALAN bajet pengurusan kewangan kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan masih kurang memuaskan kerana pengauditan mendapati terdapat beberapa kementerian berbelanja melebihi peruntukan.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata pengauditan ke atas pengurusan kewangan kementerian dan jabatan Kerajaan Persekutuan mendapati terdapat kementerian yang membelanjakan kurang 50 peratus daripada peruntukan diluluskan dan ada kementerian tidak membelanjakan peruntukan tambahan yang diluluskan.

Malah, katanya ada kementerian tidak membelanjakan peruntukan bagi tujuan tertentu.

“Antara faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku kerana kurangnya kawalan dan pemantauan terhadap penggunaan peruntukan akibat buku Vot tidak diselenggarakan dengan lengkap dan kemas, kegagalan pemegang waran peruntukan mengemukakan retan perbelanjaan bulanan yang lengkap kepada pegawai pengawal berkenaan.

“Laporan perbelanjaan bulanan yang dikemukakan oleh Akauntan Negara tidak disahkan dan disesuaikan dengan buku Vot,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Akaun Awam dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan 2006.

Ambrin berkata, selain masalah kawalan terhadap bajet, pengauditan mendapati ada kementerian yang lewat membuat bayaran terhadap bekalan dan perkhidmatan yang diterima mereka.

Katanya, mengikut amalan bayaran di bawah arahan Perbendaharaan 58a yang memperuntukkan bahawa bayaran terhadap bekalan dan perkhidmatan yang diterima pada tahun sebelumnya boleh dibuat pada tahun semasa dengan syarat Kementerian mempunyai baki peruntukan mencukupi pada tahun bekalan atau perkhidmatan diterima dan tiada sebarang keraguan mengenai sebab berlakunya kelewatan.

Beliau berkata, semakan audit di 10 kementerian mendapati bayaran berjumlah RM729.49 juta sudah dibuat pada 2006 untuk menjelaskan bayaran bekalan/perkhidmatan yang sudah diterima pada tahun-tahun lalu.

“Antara alasan kelewatan yang diberikan termasuklah bil/tuntutan lewat diterima, peruntukan tahun perolehan/perkhidmatan diterima tidak mencukupi dan kontrak lewat ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata, kelewatan pembayaran perlu diatasi kerana ia akan menjejaskan imej kerajaan.

Justeru, katanya pegawai pengawal hendaklah memastikan bil dijelaskan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelak gejala pembayaran di bawah arahan Perbendaharaan (AP) 58a, tidak menunjukkan aliran (trend) yang meningkat.

No comments: