13 September 2007

Persepsi pada sektor awam

Utusan Online

Oleh: RASHIDAH ABD. RAHIM

LOGIKKAH kerajaan tidak memberi bonus kepada kakitangan pada penghujung tahun ini? Jawapannya mesti ada hubung kait dengan prestasi kakitangan awam selain kenaikan gaji yang mereka nikmati baru-baru ini.

Setiap individu yang berurusan dengan sektor kerajaan mempunyai persepsi tersendiri tentang perkhidmatan kakitangan awam. Antaranya ialah malas untuk menjawab telefon, lambat, sombong, buat kerja sambil lewa, banyak kerenah dan pelbagai sikap negatif lain. Persepsi tersebut bukanlah rekaan untuk menjatuhkan imej sektor awam namun itulah realiti yang terpaksa diterima.

Setelah kerajaan mengambil inisiatif menaikkan gaji penjawat awam, masalah etika masih menghantui sektor itu. Tiada penambahbaikan dapat dilihat seratus peratus dan ini bukanlah tuduhan melulu tetapi berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Jika ada pun, hanya segelintir sahaja golongan ini yang benar-benar memegang amanah dengan ikhlas dan jujur.

Hasrat kerajaan untuk memastikan produktiviti dan tahap perkhidmatan meningkat selari dengan kenaikan gaji tersebut dirasakan agak sukar untuk dicapai ekoran sikap sambil lewa penjawat awam itu sendiri.

Ketika berurusan dengan sektor perkhidmatan awam kita dapat lihat bagaimana penjawat awam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan. Boleh dikatakan, jika ada sepuluh orang kakitangan awam di sektor tersebut, hanya empat orang sahaja yang benar-benar dedikasi dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Kalau dilihat melalui pengalaman dan pemerhatian, banyak kepincangan dalam melaksanakan tugas di pejabat sengaja dilakukan oleh kakitangan awam, antaranya ialah curi tulang.

Seperti yang kita sedia maklum, antara perkhidmatan awam dan swasta, sektor awam menjadi pilihan dalam memilih pekerjaan. Antara alasannya ialah insentif yang diperoleh selain lebih ‘relaks’ berbanding swasta.

Fikirkan bagaimanakah prestasi sektor awam dapat dipertingkatkan dan birokrasi dikurangkan jika masa bekerja digunakan untuk keluar bersiar-siar.

Di samping itu, sikap malas penjawat awam untuk menjawab panggilan telefon juga membebankan orang ramai yang berurusan dengan sektor terbabit. Itu belum dikira layanan kurang mesra semasa berbual di telefon. Sikap sambil lewa dan sikap ‘semua tidak tahu’ yang diamalkan oleh mereka berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan amat mengecewa dan menyakitkan hati.

Keadaan ini mungkin berlaku kerana penjawat awam kini tidak memegang konsep Bersih, Cekap dan Amanah yang telah digariskan dalam dasar utama kerajaan.

Secara implisitnya, masalah ini juga adalah tanggungjawab ketua jabatan kerana mereka telah diamanahkan untuk memastikan jentera bawahannya melaksanakan perubahan-perubahan yang diharapkan.

Sehingga perkhidmatan awam terbukti mencapai penambahbaikan yang memberangsangkan barulah tindakan menaikkan gaji kakitangan awam dianggap tepat.

Pemberian bonus tahunan juga tidak akan menjadi permasalahan bagi kerajaan jika mutu perkhidmatan awam benar-benar cemerlang.

No comments: