09 September 2007

Lulusan diploma konstabel terbaik

Berita Harian

JEMPOL: Mohd Norsah Nordin, 23, (gambar) boleh mendapat pekerjaan lebih baik dengan gaji lumayan dan suasana kerja selesa, tetapi beliau memilih menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sebagai pegawai setaraf kelayakannya, tetapi bermula dengan pangkat konstabel.

Bagi lulusan Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ini, tiada salahnya menjawat pangkat rendah dalam pasukan berkenaan selagi boleh memberikan sumbangan dan khidmat yang bermakna kepada rakyat dan negara.

Keazaman itu juga menyebabkannya tidak pernah berputus asa walaupun dua permohonannya menyertai PDRM, termasuk bagi jawatan inspektor pelatih sebelum ini ditolak dan hanya diterima selepas kali ketiga memohon.

"Dalam dua percubaan sebelum ini, saya gagal kerana dimaklumkan fizikal saya tidak memenuhi kriteria, tetapi ia bukan penghalang untuk saya terus mencuba dan akhirnya berjaya juga diterima selepas kali ketiga mencuba.

"Menjadi anggota polis adalah minat dan keutamaan saya walaupun ada juga memohon pekerjaan lain yang bersesuaian dengan kelayakan. Apabila diterima menyertai latihan polis, saya tidak berfikir panjang," katanya.

Pemegang diploma dalam jurusan akaun itu antara 730 pelatih kursus asas konstabel lelaki siri 1/2007 yang berjaya menamatkan latihan mereka di Pusat Latihan Polis Air Hitam, dekat sini semalam dan menerima sijil masing-masing daripada Pengarah Jabatan Logistik Bukit Aman, Datuk Zainal Mohd Tahir.

Mohd Norsah dari Shah Alam, Selangor yang turut dipilih sebagai pelatih terbaik akademik bagi sesi berkenaan, berkata beliau sanggup bermula dari bawah, tetapi berazam memberikan khidmat terbaik untuk kenaikan pangkat selepas ini.

Rakannya, Mohd Kasmin Mohd Kasim, 21, dari Tawau, Sabah, yang dipilih pelatih terbaik keseluruhan, tidak menyangka diberikan pengiktirafan itu kerana menjalani latihan seperti pelatih lain.

Sementara itu, Zainal berkata, PDRM menerima banyak permohonan daripada lulusan ijazah dan diploma yang mahu menyertai pasukan itu bagi jawatan lain-lain pangkat walaupun mempunyai kelulusan tinggi.

"Bagi kursus asas konstabel sesi 1/2007 ini, kita ada 11 pemegang ijazah dan 46 lagi dengan kelulusan diploma," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerja menaik taraf pusat latihan polis di seluruh negara dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun ini, sekali gus akan membolehkan PDRM melatih sehingga 10,000 pegawai dan anggota polis setahun berbanding kira-kira 5,000 ketika ini.

"Kita juga akan membina dua pusat latihan baru, masing-masing di Bentong, Pahang dan Sabah, manakala sebuah hotel di Pulau Langkawi juga akan diubahsuai menjadi pusat latihan. Semua ini selaras dengan sasaran kita untuk mengambil 60,000 anggota baru dalam tempoh lima tahun akan datang.

No comments: