Salah urus dana awam tak boleh dibiar
Berita Harian
LAPORAN akhbar akhir-akhir ini mengejutkan banyak pihak berikutan pembelian aset kerajaan yang meragukan oleh beberapa kementerian dengan harganya tidak munasabah berbanding harga pasaran.
Akhbar ini semalam, misalnya mendedahkan pembelian 13 peralatan dan kelengkapan untuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan harga peralatan melebihi paras harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.
Sebelum tindakan dikenakan ke atas mereka yang menyalahgunakan dana awam tanpa mengira kesannya kepada perbelanjaan kerajaan, eloklah diselidiki apa sebenarnya yang berlaku dan daripada manakah puncanya semua ini berlaku.
Saya adalah kakitangan kerajaan dan berpengalaman dalam menguruskan sebut harga, tender dan pembelian lain berasakan perkara ini berlaku disebabkan oleh tiga perkara utama seperti berikut:
Saya ingin menjelaskan perkara ketiga dengan memberi contoh di tempat kerja saya. Ketua Pengarah mengarahkan seorang pegawai teknologi maklumat (IT) untuk melaksanakan urusan tender IT di mana segala spesifikasi teknikal hanya dibincang antara Ketua Pengarah (bukan IT) bersama syarikat kontraktor.
Saya adalah pegawai IT yang ditugaskan membuat spesifikasi sebut harga pendawaian elektrik. Keadaan sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana kesalahan spesifikasi dan anggaran perbelanjaan akan berlaku kerana tugasan yang sepatutnya dipikul oleh jurutera elektrikal telah diserahkan kepada pegawai yang bukan bidangnya.
Sememangnya kakitangan kerajaan digesa untuk bertindak secara kompeten tetapi bukan dengan cara sebegini. Disebabkan kes beginilah akan berlakunya kesalahan anggaran perbelanjaan kerajaan dan kakitangan akan ditipu oleh pihak kontraktor.
Kita semua sedar dan agama juga menekankan bahawa pincanglah sesuatu organisasi jika diserahkan kepada orang yang bukan bidangnya. Justeru, saya memohon agar kerajaan terutama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memastikan setiap jawatan yang diluluskan hendaklah jelas dan tepat dengan tugasan sesebuah agensi.
Apa yang berlaku sekarang, sumber manusia bidang IT tidak pernah diambil kira secara serius apabila mewujudkan sesebuah jabatan dan agensi sedangkan IT adalah satu keperluan dan kemestian dan jika ada pun, hanya ditempatkan seorang dua pegawai IT di setiap jabatan.
Apa yang boleh dilakukan oleh hanya seorang pegawai IT sedangkan bidang IT terlalu luas. Semua ini masih belum disedari dalam penstrukturan perjawatan sektor kerajaan. Begitu juga untuk bidang lain. Sumber manusia yang paling dititikberatkan dalam kerajaan selalunya tertumpu kepada Pegawai Tadbir Diplomatik kerana merekalah yang mentadbir di hampir semua jabatan dan agensi.
Oleh kerana itulah, maka berlakunya penyalahgunaan atau kesalahan percaturan perbelanjaan wang kerajaan kerana tiada tumpuan kepada sumber manusia yang diperlukan.
Justeru, teguran Ketua Audit Negara amat munasabah dan bertepatan kerana ada juga sesetengah agensi yang mempunyai bahagian pemantauan projek tetapi tidak diketahui projek apa yang dipantau.
Saya mencadangkan supaya audit ditubuhkan untuk tidak hanya mengaudit perbelanjaan kerajaan tetapi juga mengaudit perjawatan sedia ada sama ada perlu dikaji semula perjawatan yang tidak sesuai dan kurang diperlukan.
MATA HATI,
Putrajaya.
No comments:
Post a Comment