10 September 2007

Kementerian kena jawab

Berita Harian



TPM arah beri penjelasan teguran berhubung salah urus dana awam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mahu semua kementerian berkaitan menjawab teguran Ketua Audit Negara berhubung salah urus dana awam, termasuk dalam pembelian peralatan dan pengurusan kontrak.

Timbalan Perdana Menteri turut mengesahkan Ketua Setiausaha kementerian tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan kontrak berdasarkan proses rundingan secara langsung.

“Rundingan langsung tak ada (kuasa). Ia sama ada melalui tender atau keputusan Kementerian Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Pertandingan Golf Jemputan Business Times edisi ke-5 di Saujana Golf & Country Club dekat sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang dikemukakan di Parlimen, Jumaat lalu, berhubung kelemahan beberapa kementerian dan jabatan menguruskan dana awam, termasuk dalam pembelian pelbagai barang serta peralatan.

Antaranya, pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dengan harga semua barang itu dilaporkan melebihi harga pasaran sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 seunit berbanding harga pasaran hanya RM50 seunit.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga didapati membeli 17 set buku teknikal dengan 10 tajuk pada harga RM181,900 atau RM10,700 satu set, sedangkan harganya di Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cuma RM417 satu set.

Turut didedahkan ialah mengenai tindakan ketua setia usaha kementerian berkenaan menandatangani 11 kontrak bernilai antara RM7.99 juta hingga RM74.2 juta berkaitan projek IKBN bagi pihak kerajaan, tetapi tiada surat penurunan kuasa menteri dikemukakan ketika pengauditan dijalankan.

Mengikut Akta Kontrak Kerajaan 1949, kontrak bernilai lebih RM5 juta perlu ditandatangani sendiri oleh menteri sebagai mewakili kerajaan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh menteri berkenaan.

Kementerian Kewangan pula ditegur kerana gagal merancang dan melaksanakan dengan baik projek Sistem Maklumat Kastam (SMK) menyebabkan Kastam Diraja Malaysia terpaksa menambah 10 lagi kontrak bernilai RM30.18 juta.

Selain itu, pembinaan bangunan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Seremban dilaporkan tidak dirancang dan dilaksanakan dengan teratur oleh Kementerian Penerangan menyebabkan kos projek itu meningkat daripada RM23.47 juta kepada RM38.51 juta.

Sementara itu, Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Shukri Abdull, berkata pihaknya akan menyiasat sama ada wujud unsur penyelewengan dalam prosedur pembelian peralatan berkenaan.

“BPR akan mengkaji laporan itu terlebih dulu untuk mengenal pasti kelemahan tertentu yang memerlukan siasatan kita. Sekiranya kita dapati ia mempunyai asas untuk disiasat, kita akan siasat dan panggil semua yang terbabit.

“Bagaimanapun, sekiranya kelemahan yang berlaku itu hanya membabitkan pelanggaran prosedur dan tiada unsur rasuah, maka tindakan selanjutnya tertakluk kepada kementerian atau menteri terbabit,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Ditanya bagaimana Ketua Setiausaha KBS dibenarkan menandatangani kontrak melebihi nilai sepatutnya, Mohd Shukri berkata, perkara itu akan turut disiasat.

Selain KBS, katanya, BPR juga akan memberi tumpuan kepada kementerian dan jabatan lain yang prosedur tendernya dilaporkan mengalami kelemahan hingga menjejaskan dana awam dan perbelanjaan kerajaan.

No comments: