15 September 2007

Indeks akauntabiliti urus kewangan awam ditubuh

Utusan Online

Oleh: HELMI MOHD. FOAD

PUTRAJAYA 14 Sept. – Jabatan Audit Negara akan memperkenalkan indeks akauntabiliti pengurusan kewangan ke atas semua kementerian dan perbendaharaan negeri-negeri bermula tahun depan.

Indeks itu, kata Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang (gambar), perlu dirujuk sebelum proses kenaikan pangkat para pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata, indeks tersebut merupakan antara syor yang dibuat oleh jabatan itu bagi mengelakkan berulang aktiviti salah urus dana awam seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006.

Menurutnya, indeks akauntabiliti merupakan satu bentuk penilaian yang objektif ke atas semua kementerian dan kerajaan negeri dengan memberikan markah tertentu bagi menunjukkan sama ada pengurusan kewangan masing-masing baik atau sebaliknya.

“Jika mereka mendapat 90 markah dan ke atas, mereka akan diberikan empat bintang dan jika markah mereka di bawah daripada 15, mungkin mereka hanya dapat satu bintang.

“Rating tersebut akan membolehkan pengurusan sesebuah kementerian mengambil tindakan bagi membetulkan dan meningkatkan tahap mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Ambrin mengadakan sidang akhbar itu untuk membuat penjelasan selepas Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang dibentangkan di Parlimen minggu lalu mendapat perhatian media yang menggunakan laporan itu untuk mendedahkan pelbagai bentuk salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian.

Laporan tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengarahkan agar semua kementerian terbabit memberikan maklum balas mengenai persoalan yang ditimbulkan oleh Jabatan Audit Negara.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Badan Pencegah Rasuah (BPR) bebas untuk menyiasat kementerian dan jabatan yang ditegur oleh Ketua Audit Negara berdasarkan maklumat yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Menurut Ambrin, laporan indeks akauntabiliti yang beliau cadangkan akan dibentangkan di Parlimen sepertimana Laporan Ketua Audit Negara.

Beliau mengingatkan, indeks tersebut perlu diberikan perhatian kerana ia akan memberikan kesan ke atas proses kenaikan pangkat atau penyambungan kontrak jawatan Ketua Setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai atasan jabatan-jabatan kerajaan.

Melalui sistem baru itu, katanya, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga tidak akan terlepas daripada proses audit kewangan iaitu dengan melakukannya secara bergilir-gilir setiap tiga tahun sekali.

Ditanya mengapa laporan audit tahun lalu mendedahkan penemuan yang mengejutkan, beliau berkata, setiap tahun Ketua Audit Negara mengenal pasti pelbagai masalah tetapi tahun ini media memberi perhatian dan memilih untuk menyiarkan isu salah urus dana awam.

Bagaimanapun, tegas Ambrin, pihaknya tidak boleh menyatakan kementerian atau pegawai tertentu melakukan kesalahan berdasarkan laporan yang dikeluarkan itu.

“Semuanya telah kita nyatakan dalam laporan tersebut, anda bacalah dan kemudian buatlah kesimpulan anda,” katanya.

Pihaknya juga, kata beliau, tidak boleh menentukan tahap baik atau buruk sesebuah kementerian kerana Jabatan Audit Negara membuat pelbagai jenis audit, antaranya melibatkan kawalan pengurusan, kawalan bajet, kawalan terimaan, pengurusan pelaburan dan pinjaman serta pengurusan aset dan inventori.

Dalam hal ini, katanya, Jabatan Audit Negara tidak perlu membuat laporan kepada BPR kerana Badan Pencegah Rasuah itu mempunyai kuasa untuk membuat penyiasatan berdasarkan laporan audit tersebut.

No comments: