14 September 2007

Guru ditawar skim insurans perlindungan

Utusan Online

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Para guru kini boleh mendapatkan insurans perlindungan diri menerusi pakej pelan Takaful Mutiara Plus yang dilancarkan hari ini bagi melindungi mereka yang terdedah kepada risiko kemalangan semasa bertugas.

Presiden Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim berkata, pakej itu dilancarkan bagi membantu ahli-ahlinya seramai 130,000 orang mendapatkan perlindungan diri menerusi pelan yang murah dan terjamin.

“Perlindungan diri semakin penting untuk guru-guru hari ini memandangkan mereka terlibat dalam aktiviti kokurikulum selama tiga jam seminggu.

“Aktiviti tersebut dilakukan sama ada di kawasan sekolah, di luar waktu kerja ataupun di luar kawasan sekolah seperti membawa pelajar menghadiri pertandingan bahas, bola sepak, forum dan juga aktiviti riadah,” jelas Anuar.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian persefahaman antara NUTP dengan Takaful Nasional Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Memperoleh

Menurut Anuar, skim perlindungan diri itu adalah yang keempat pernah dilancarkan NUTP untuk anggotanya yang selama ini hanya memperoleh wang sagu hati daripada kerajaan jika berlaku kemalangan.

Menurut beliau, pelan yang menawarkan dua produk, Delima Barakah dan Nilam Barakah itu turut menyediakan perlindungan diri kepada anggota keluarga, faedah perubatan serta pakej simpanan yang tinggi.

Sehingga hari ini, kata Anuar, sebanyak 30 hingga 40 peratus daripada ahli-ahlinya mengambil skim perlindungan diri dan perubatan itu.

Ditanya tentang kegiatan ‘gangsterisme’ di kalangan pelajar sekolah, Anuar menyuarakan kebimbangannya terhadap kegiatan itu yang semakin berkembang.

Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dan beliau berharap semua pihak bekerjasama untuk mengawasi anak-anak daripada terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral itu.

“Perbuatan itu sebenarnya berlaku di sekolah-sekolah di merata dunia tetapi di negara ini belum sampai ke peringkat kritikal,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Anuar memberitahu, NUTP telah beberapa kali mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk mengecualikan peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada guru-guru yang berusia melebihi 50 tahun.

Guru dalam kumpulan usia itu kata beliau, dicadangkan diukur prestasi mereka mengikut jawatan yang disandang serta kursus-kursus yang pernah diikuti.

No comments: