11 September 2007

Cuepacs tuntut bonus RM2,000

Berita Harian


Kesatuan yakin kerajaan akan timbang kerana faham masalah kumpulan sokongan

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini bagi menuntut pembayaran bonus atau honorarium sebanyak RM2,000 kepada setiap kakitangan kerajaan.

Presidennya, Omar Osman berkata, beliau yakin kerajaan akan memenuhi tuntutan itu kerana kerajaan sebelum ini tidak pernah menolak permintaan Cuepacs.

Katanya, sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat, Cuepacs yakin kerajaan akan menimbang secara terperinci tuntutan itu kerana memahami masalah kumpulan sokongan yang berdepan masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun kerajaan menaikkan gaji kakitangannya di antara 7.5 dan 35 peratus berkuat kuasa 1 Julai lalu, ia tidak seharusnya diambil kira kerana pembayaran bonus atau honorarium berbeza dengan bayaran gaji bulanan.

"Cuepacs yakin kerajaan dapat membuat pertimbangan sewajarnya dan akan memberikan bonus atau honorarium apabila surat rasmi mengenai tuntutan itu diserahkan kepada Perdana Menteri esok (hari ini)," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan ke-28 Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi Mara (Mitasa) di sini, semalam.

Kelmarin, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam kenyataannya dilaporkan berkata, kerajaan tidak memberi bonus dalam Bajet 2008 selepas mengambil kira kenaikan gaji agak lumayan yang diberikan kepada kakitangan awam, Julai lalu.

Omar berkata, Cuepacs percaya apa jua keputusan kelak, dibuat selepas mengambil kira kesukaran kumpulan sokongan yang terpaksa melakukan sehingga tiga kerja sambilan dalam satu masa untuk mendapat pendapatan sampingan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi terutama di bandar besar.

Beliau bagaimanapun berkata, kadar sebenar pembayaran bonus atau honorarium yang mungkin diberikan kepada kakitangan awam diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

"Tuntutan Cuepacs bukan bertujuan mendesak atau memberi tekanan kepada kerajaan sebaliknya sebagai penghargaan kepada kakitangan awam yang bersama berkhidmat membangunkan negara.

"Jika dibandingkan dengan persekitaran ketika ini dan kos sara hidup, gaji yang diterima kakitangan awam masih jauh lebih rendah berbanding kakitangan swasta," katanya.

No comments: