10 September 2007

Jangan terlalu fikirkan soal bonus, faedah jangka pendek

Berita Harian

SETIAP kali pembentangan bajet, kakitangan awam mengharapkan bonus untuk mereka. Tetapi ketika pembentangan Bajet 2008 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak membuat sebarang pengumuman mengenai bonus untuk 1.2 juta kakitangan awam. Perkara ini memang sudah dijangka selepas kakitangan awam menerima ‘bonus’ tertinggi dalam sejarah negara apabila menikmati kenaikan gaji antara 7.5 peratus hingga 35 peratus serta antara 9 hingga 42 peratus bagi anggota polis dan tentera, Julai lalu. Kenaikan gaji itu tentunya lebih tinggi daripada bonus sebulan atau dua bulan gaji yang diberi sekali setahun, sedangkan gaji bulanan mereka sudah bertambah daripada sebelum ini. Begitu juga bagi pesara kerajaan yang sesetengahnya menerima pencen hampir sama seperti gaji pokok terakhir mereka dalam perkhidmatan selepas turut menerima tempias kenaikan gaji kakitangan awam Julai lalu.

Oleh itu, kita berpendapat tidak perlu lagi bayaran bonus kepada kakitangan awam tahun ini untuk berlaku adil kepada rakyat yang bukan bekerja dalam sektor awam. Malah, pernah bonus tidak diumumkan dalam Bajet 1999, tetapi selepas Cuepacs merayu, kerajaan yang ketika itu menghadapi defisit mengumumkan bantuan khas kepada semua kakitangan awam sebanyak RM400 kecuali mereka yang dalam jawatan utama. Kakitangan awam pertama kali menerima bonus pada 1993. Pada masa itu, seramai 850,000 kakitangan awam menerima bonus sebulan gaji atau minimum RM400, dan ia diteruskan selepas itu. Pada Bajet 2000, walaupun kakitangan awam diberikan kenaikan gaji sebanyak 10 peratus daripada gaji asas, kerajaan mengumumkan pembayaran bonus sebulan gaji atau minimum RM1,000.

Sudah tiba masanya bagi kakitangan awam atau Cuepacs untuk tidak terlalu memikirkan soal bonus kerana ia lebih berupa wang tunai segera untuk jangka pendek. Tanpa bonus, kakitangan awam masih mendapat habuan berdasarkan pengiraan kadar kenaikan gaji bagi tempoh enam bulan mulai 1 Julai lalu yang menyamai dua hingga empat bulan bonus. Kita harus rasional dan tidak perlu memandang negatif apabila tiada bonus diumumkan. Banyak lagi manfaat lain yang lebih menguntungkan bagi tempoh jangka panjang seperti kenaikan elaun kos sara hidup (Cola). Misalnya, dalam Bajet 2008 pelbagai insentif turut diumumkan seperti peluasan skim pinjaman buku teks kepada semua pelajar serta pemansuhan yuran bagi sekolah rendah dan menengah yang bakal memberikan manfaat kepada kakitangan kerajaan terutama yang berpendapatan rendah.

Kita harus faham bahawa kerajaan mempunyai dana terhad dan perlu diagihkan untuk projek yang memberi impak maksimum kepada rakyat seperti projek di kawasan pedalaman, membekalkan air ke kampung atau menangani kadar kemiskinan bandar. Jangan kerana tiada bonus, kita merajuk sehingga lupa betapa baik hati kerajaan apabila menaikkan gaji kakitangan awam 1 Julai lalu dan ia adalah penghargaan kerajaan atas sumbangan kakitangan awam. Bajet 2008 membuktikan kerajaan bertanggungjawab dan berhemat dalam menguruskan perbelanjaan, bukannya merangka bajet khusus untuk pilihan raya. Walaupun tiada bonus kali ini, kerajaan sudah pasti akan menimbangkannya pada masa akan datang selepas kita melepasi tahap defisit. Bajet 2008 masih berdefisit tetapi kadarnya menurun daripada 5.5 peratus pada 2000 kepada 3.3 peratus tahun lalu. Kita harus sama-sama membantu mengurangkannya lagi kerana bajet defisit bermakna perbelanjaan lebih banyak daripada pendapatan.

No comments: