15 September 2007

BPR: Tiada pilih kasih siasat kes audit

Utusan Online

KUALA LUMPUR 14 Sept. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) menegaskan pihaknya tidak mengamalkan pilih kasih dalam menyiasat dakwaan penyalahgunaan perbelanjaan kementerian dan jabatan kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, kementerian dan jabatan terbabit disiasat sebelum laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan lagi kerana maklumat mengenainya telah diterima lebih awal oleh BPR.

‘‘Siasatan telah berjalan sebelum laporan audit diumumkan dan keputusan akan diperoleh tidak lama lagi.

‘‘Tidak ada pilih kasih dan mereka yang bersalah akan dihadapkan ke mahkamah,’’ katanya tanpa menyatakan kementerian dan jabatan kerajaan yang sedang disiasat oleh badan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kursus Pensijilan Pengurusan Strategik Eksekutif Kanan Program Pencegahan Rasuah di Akademi Pencegahan Rasuah di sini hari ini.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam laporannya yang dikeluarkan baru-baru ini mengkritik beberapa kementerian kerana menerima tawaran harga kontraktor yang terlalu tinggi dalam pembelian peralatan tertentu.

Laporan tersebut antaranya menegur proses pembelian 13 peralatan dan kelengkapan bagi Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada kadar melebihi harga pasaran hingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM8.39 juta.

Ini termasuk pembelian dua menara kren membabitkan perbelanjaan RM5.72 juta berbanding RM2.98 juta mengikut harga pasaran, selain membeli alat pengangkat kereta dua tan berharga RM5,741 sebuah berbanding cuma RM50 sebuah di pasaran.

Ambrin turut menegur Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung pemberian peruntukan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam reaksi terhadap teguran itu bagaimanapun berkata, kementeriannya sedia disiasat oleh BPR.

No comments: