Mustapa belum puas hati kemajuan SPRT
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi tidak berpuas hati dengan kemajuan program kerjasama penyelidikan antara universiti tempatan dan luar negara, membabitkan kakitangan akademik universiti tempatan yang dihantar mengikuti Program Latihan Penyelidikan Split PhD (SPRT) di luar negara.
Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata sejak program SPRT dimulakan lebih dua tahun lalu, kementerian sudah menghantar 23 kakitangan akademik ke dua universiti di luar negara bertujuan memperluaskan ilmu dan memperkukuhkan program penyelidikan tempatan.
“Setakat ini, kemajuannya kurang membanggakan. Sebelum ini kita sudah hantar 16 kakitangan akademik ke Universiti Nottingham, United Kingdom dan tujuh ke Imperial College, London sejak memulakan kerjasama program ini pada 2005,” katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, kegagalan sebahagian besar kakitangan akademik tempatan memenuhi keperluan standard universiti antarabangsa yang bekerjasama dalam SPRT juga antara faktor menyumbang kurangnya pembabitan mereka dalam program berkenaan.
“Kita tidak memaksa pensyarah mengikuti program ini kerana mereka mungkin tidak berminat, tetapi semestinya kita amat menggalakkan dan mahu mereka pergi ke universiti antarabangsa yang terbaik dan kita beri mereka pilihan.
“Saya yakin jumlah pensyarah yang mengikuti program ini akan bertambah pada masa depan. Program ini adalah antara usaha kita untuk meningkatkan kelayakan pensyarah di institusi pengajian tinggi awam tempatan,” katanya sambil menambah SPRT juga selaras dasar pendidikan tinggi negara yang mahu menambah lebih ramai bilangan pensyarah memegang PhD.
Terdahulu, Mustapa menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) kerjasama pembangunan kapasiti pendidikan tinggi Malaysia dan peningkatan kerjasama penyelidikan antara universiti awam tempatan dengan Universiti Melbourne, Australia.
Katanya, 30 kakitangan akademik kumpulan pertama dihantar mengikuti SPRT di Universiti Melbourne, Australia pada Februari depan, diikuti kumpulan kedua pada Ogos bagi memberi peluang pensyarah tempatan mengembangkan pengetahuan dan bertukar ilmu dalam bidang penyelidikan.
“Setakat ini, 12 permohonan sudah diterima dan ia mengambil sedikit masa untuk meluluskan pelbagai perkara termasuk visa mereka yang terpilih,” katanya sambil menambah pihaknya menumpukan kursus sains sosial dan kejuruteraan untuk SPRT kali ini.
No comments:
Post a Comment