23 July 2007

Warden pertahan rendam 200 pelajar dalam kolam

Utusan Online

Oleh: SAYED HESHAM IDRIS

SIBU 22 Julai – Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, dekat sini yang mengarahkan 200 pelajar perempuan berendam di dalam kolam ekoran tindakan seorang daripada mereka membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sekolah Rabu lalu, mempertahankan tindakannya.

Warden wanita itu, Wee Yim Pien berkata, beliau telah berulang kali mengingatkan para pelajar supaya tidak membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, sesetengah pelajar tidak menghiraukan amarannya menyebabkan saluran tandas kerap tersumbat.

Keadaan itu katanya, menyebabkan pengawas sekolah terpaksa menggunakan tangan untuk mengeluarkan tuala wanita yang dibuang ke dalam mangkuk tandas setiap kali saluran tandas tersumbat.

‘‘Sedangkan tempat membuang sampah memang disediakan di luar tandas untuk pelajar perempuan membuang tuala wanita.

‘‘Pihak sekolah turut menyediakan surat khabar lama untuk memudahkan pelajar membalut tuala wanita yang telah digunakan sebelum ia dibuang ke dalam bakul sampah,” katanya.

Beliau mendakwa, walaupun disediakan kemudahan tersebut, keadaan masih tidak berubah.

Malahan, baru-baru ini beliau sekali lagi memberi amaran akan menghukum pelajar yang membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas dengan merendam mereka ke dalam kolam.

Beliau yang merupakan guru bahasa Inggeris di sekolah berkenaan berkata, Selasa lalu ketika membersihkan hostel, seorang pengawas memberitahunya bahawa satu tuala wanita ditemui di dalam mangkuk tandas.

Jelasnya, beliau hilang sabar dengan kejadian itu lalu menghukum pelajar dengan mengarahkan mereka berendam di dalam kolam.

Guru lepasan ijazah yang berasal dari Kuching itu berkata, pada awalnya beliau mahu menghukum pelajar dengan merendam mereka selama lima minit.

‘‘Tetapi para pelajar membuat bising menyebabkan saya melanjutkan hukuman sehingga setengah jam,” ujarnya.

Beliau berkata, ketika pelajar memasuki kolam, hujan renyai tetapi berhenti tidak lama kemudian dan tiada kilat pada masa kejadian.

‘‘Hujan lebat selepas semua pelajar keluar dari kolam,” katanya.

Guru itu turut menafikan laporan akhbar bahawa kolam berkenaan kotor.

Justeru beliau menolak dakwaan air kolam berkenaan yang menyebabkan pelajar mengalami gatal-gatal dan ruam sehingga ada yang demam.

Laporan sebelum ini mendakwa air kolam berkenaan kotor kerana bercampur dengan sisa makanan dan air kotor yang dibuang dari kantin sekolah.

Menurutnya, air kolam itu kerap digunakan untuk aktiviti luar kelas seperti program orientasi dan juga motivasi.

Bagaimanapun menurutnya, ia merupakan kali pertama beliau mengenakan hukuman sedemikian kepada pelajar.

‘‘Saya mencuba pelbagai cara supaya pelajar menjaga kebersihan kawasan sekolah tetapi gagal,” katanya.

Jelasnya lagi, tugas sebagai warden sekolah bukan mudah dan tidak ramai guru mahu melakukannya.

Ditanya kemungkinan berdepan dengan tindakan disiplin ekoran kejadian itu, katanya, beliau hanya menjalankan tugas.

No comments: