Tidak wajar hanya guru dipersalah
Berita Harian
RAMAI memberi pendapat berhubung kes pelajar didera sejak kebelakangan ini termasuk kes terbaru dikenakan hukuman berendam di dalam kolam kerana didakwa membuang tuala wanita dalam tandas seperti dilaporkan Ahad lalu.
Namun, dalam pandangan yang dikemukakan, apakah wajar guru saja kena marah? Saya mahu ibu bapa dan sesiapa saja supaya jangan cepat melatah. Saya rasa tidak adil guru saja dipersalahkan.
Apa perasaan mereka? Memang kita marah dengan tindakan ekstrem itu tapi wajarkah kita menghentam guru berkenaan yang pada hakikatnya mahu mendidik anak kita menjadi insan berguna.
Saya rasa guru harus terus dibela. Kebanyakan mereka yang marahkan guru sekolah berkenaan dan mengaitkannya dengan pelbagai isu seperti cara latihan guru, tidak mengguna psikologi dan lain-lain.
Persoalannya, bagaimana pula dengan kes anak murid yang suka ingkar dan melawan ? Seribu satu kesalahan murid yang berlaku setiap hari dan guru saja yang tahu betapa degil dan menyakitkan hati pelajar sekolah sekarang.
Dalam keluarga saya ada lima pendidik dan saya dengar macam-macam cerita menjadikan saya sangat masak dengan kerenah pelajar sekolah. Ada yang lucu juga gelagat anak nakal ini, seperti satu kisah di Serdang, Kedah.
Apabila murid itu ditanya soalan dan dia tidak dapat menjawab, dia kata ‘kita putar Halim....’ satu dialog yang kita selalu dengar dalam rancangan TV yang semua orang tahu. kelakar memang kelakar tapi yang tidak kelakar ada juga, sampai mengugut bunuh, mencalar kereta guru dan sebagainya.
Apabila timbul isu seperti ini, guru cepat saja kena hentam. Tahukah mereka semua tekanan sebagai guru dan tahukah mereka kerenah anak sekarang ini bagaimana. Antara tekanan guru ialah cabaran mengajar, tempat sama ada masalah di bandar atau pedalaman, kemudahan guru, tugasan luar mengajar, sukan sekolah dan sebagainya.
Berbanding dengan guru, semua orang pun tahu walaupun tahap pendidikan mereka setaraf dan berkelulusan universiti. Itu sebahagian kecil saja masalah guru yang kita sebagai orang luar tahu, tapi sebenarnya banyak lagi.
Berbalik kepada soal mendenda ini. Ini lumrah alam dan dalam kehidupan sebenar pun kalau buat kesalahan kita kena denda dan dihukum. Berapa ramai orang baik berjawatan tinggi dalam kerajaan dan swasta kena denda sebab kesalahan lalu lintas, cuma hukumannya jelas, kena kompaun dan bayar kompaun habis cerita.
Nampak tak ironinya, kalau orang dewasa, berjawatan tinggi dan baik pada budi pekerti pun buat salah berulang kali, inikan pula murid sekolah?
Hukuman yang baik sebagai pengajaran seharusnya hukuman yang keras dan tegas. Masalahnya, kesalahan di sekolah ini unik. Ia bukan jenayah tapi kalau dibiarkan boleh menjadi parah. Pokok pangkalnya, kita kena tahu asas sesuatu hal.
Orang dulu kata kepada guru, pukullah untuk mendidik tapi jangan sampai patah dan buta sudahlah.
Hal ini bukan lapuk tapi dinamik, semakin negara maju, semakin orang menjadi mata duitan, semakin isu ini rumit. Ada orang kata, guru dibayar gaji untuk mendidik dan hanya boleh mendidik.
Tapi mereka lupa, mendidik bukan hanya semata mata-mata pelajaran sekolah, tapi juga mendidik disiplin, kemahiran hidup dan realiti hidup. Hidup zaman ini kena pandai dan mahir segala macam termasuk kehidupan.
Jadi, jangan menghentam guru sesuka hati kita saja. Marilah kita bersama-sama membantu guru mendidik anak kita.
ACE,
Manjalara, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment