Tindakan warden akibatkan trauma
Berita Harian
KUCHING: Tindakan menghukum pelajar dengan cara merendam mereka dalam kolam bukanlah kaedah mendidik yang berkesan sebaliknya tindakan itu akan memberi kesan buruk dalam tempoh jangka panjang.
Menteri Muda (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman, berkata tindakan itu lebih bersifat mendera, bukannya mendidik untuk dijadikan teladan kepada pelajar itu.
“Bukan begini caranya untuk mendidik anak kita, itu adalah perbuatan mendera. Walaupun mereka bersalah, mereka tidak seharusnya menempuh keadaan yang akan menimbulkan perasaan trauma di sekolah,” katanya ketika mengulas kejadian 200 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawang Assan, Sibu direndam di dalam kolam akibat enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita ke dalam mangkuk tandas asrama, Rabu lalu.
Perbuatan itu dikesan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Jimmy Kiu, yang mendakwa perbuatan mendera itu dilakukan oleh seorang warden asrama selepas marah dengan perbuatan seorang pelajar perempuan berkenaan.
Daud berkata, tindakan itu jelas melanggar batas kemanusiaan kerana ia akan memberi kesan jangka panjang kepada semua pelajar yang baru berusia antara 12 hingga 18 tahun.
“Mendera pelajar dengan memaksa mereka berendam dalam kolam ketika hujan selama sejam adalah sesuatu yang keterlaluan dan melampau batasan walaupun diketahui mereka melanggar peraturan.
Dalam kejadian jam 4 petang di Sibu itu, warden perempuan asrama sekolah itu mengarahkan 200 pelajar Tingkatan Satu hingga Lima berendam sehingga ke paras leher dalam kolam ikan sebagai denda kerana seorang daripada mereka enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas.
Akibatnya, ramai pelajar gatal-gatal dan deman kerana kolam itu bertakung dan kotor dengan air dari kantin turut dialirkan ke dalamnya, namun mereka tidak berani bersuara kerana diugut dikenakan hukuman lebih berat jika menghebahkannya.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Abdul Karim Rahman Hamzah, menyifatkan perbuatan mendera itu melampau kerana ia turut dilakukan secara beramai-ramai oleh seorang warden perempuan.
“Saya berharap pihak sekolah dan Pejabat Pelajaran akan menyiasat perkara ini secara terperinci termasuk tidak cuba melindungi mana-mana pihak yang diketahui terbabit kerana bukan begini caranya untuk mendisiplinkan pelajar,” katanya.
No comments:
Post a Comment