24 July 2007

CUEPACS tidak desak kerajaan bayar bonus

Utusan Online

KUCHING 23 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tidak akan membuat desakan tuntutan bonus pada tahun ini memandangkan kerajaan telah menaikkan gaji kakitangan awam yang bakal dinikmati hujung bulan ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman bagaimanapun berkata, jika kerajaan ‘bermurah hati’ untuk membayar bonus, ia merupakan hadiah kepada semua kakitangan sektor awam sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

“Memang dahulu (sebelum kenaikan gaji) kita ada menuntut bayaran bonus daripada kerajaan dan menyerahkan kepada pihak kerajaan untuk menentukannya.

“Tetapi kali ini kita tidak menuntut (bonus) secara mendesak kerana kakitangan awam telah dinaikkan gaji baru yang tinggi.

“Jika kerajaan tetap berhasrat untuk membayar bonus, ia merupakan satu rahmat buat kakitangan awam,” kata Omar kepada pemberita selepas majlis dialog dengan Kesatuan Kakitangan Am Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan dekat sini hari ini.

Beliau berkata, berikutan pelaksanaan skim gaji baru tidak lama lagi CUEPACS berharap akan berlaku lonjakan produktiviti kerja di kalangan kakitangan awam.

Katanya, kakitangan awam kini diperhatikan oleh para pelanggan di seluruh negara sama ada mereka berubah dari segi produktiviti selepas menikmati kenaikan gaji.

“Pada masa yang sama CUEPACS berharap kakitangan awam dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan, tidak lagi menjalankan kerja sambilan dan meningkatkan sistem penyampaian di tempat kerja masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Omar turut meminta kakitangan awam memulaukan para peniaga yang menjual barangan pada harga yang tidak munasabah berikutan pembayaran pertama skim gaji baru pada hujung bulan ini.

Menurutnya, tindakan memulaukan peniaga terbabit harus dilakukan dalam satu tempoh yang dirasakan sesuai sehingga peniaga itu sendiri menyedari tindakannya tidak disenangi oleh pengguna.

Kata Omar: “Inilah masanya kita menggunakan kuasa sebagai pengguna untuk mengajar peniaga mengambil kesempatan.”


No comments: