23 July 2007

Guru mesti didik bukan dera pelajar

Berita Harian

ISU mengenai segelintir guru melepas geram kepada pelajar dengan tindakan tanpa mengikut peraturan dan menjejaskan nama baik dan etika profesionalisme dalam akhbar sejak akhir-akhir ini, menarik perhatian.

Kes dakwaan 22 murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Gayang, Tuaran ditampar kerana tidak menyiapkan kerja di rumah dan 200 pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan dekat Sibu, kena berendam dalam air kolam ikan kotor selama sejam kerana kesalahan seorang pelajar membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas, adalah suatu tindakan keterlaluan serta memalukan warga guru yang mengutamakan prosedur dan garis panduan salah laku pelajar di sekolah.

Biarpun guru mempunyai objektif dan niat murni untuk mendidik pelajar, pelaksanaan tindakan mesti rasional dan berfokus sahsiah dan selaras konsep Jeri iaitu keseimbangan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual yang ingin diterapkan kepada pelajar.

Tindakan menampar dan merendam dalam air kolam busuk amat berbahaya dan terdedah kepada gigitan serangga dan binatang bisa, malah penyakit kulit antara kesan jangka panjang. Apakah insurans dan cagaran yang ditanggung oleh guru seperti itu dalam usaha kerajaan menerap nilai murni dan modal insan.

Zaman guru bengis dan tidak mesra pelajar sudah berlalu. Guru wajar dihormati bukan ditakuti. Pelajar akan berasa dihargai jika guru sering berdamping dan menasihati pelajar nakal.

Umpamanya, menyedarkan pelajar bahawa mereka menjadi harapan ibu bapa untuk mengubah nasib sendiri dan keluarga. Mereka belajar pelbagai ilmu dan kemahiran serta nilai di sekolah agar menjadi ahli masyarakat mulia dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Memang tidak dinafikan salah laku dan disiplin pelajar merunsingkan semua pihak. Apatah lagi kini pelajar terdedah kepada persekitaran dan media yang memerlukan guru cakna dan waras dalam tindakan. Guru harus banyak bersabar dan tabah menghadapi kerenah pelajar dewasa ini.

Rasionalnya mereka budak yang nakal, berbuat salah dan silap tetapi manusia yang bernama guru menerima tanggungjawab mendidik, mengajar, mengasuh dan membentuk manusia yang bakal menjadi warganegara berprinsipkan Rukun Negara.

Guru harus menerima risiko diancam pelajar, kenderaan dicalar atau dibocorkan tayar atau paling menyusahkan guru apabila kes mahkamah membabitkan guru. Malah, tindakan tatatertib juga adalah prosedur dan etika dalam perkhidmatan awam menanti guru yang melepas geram ketika bertugas.

Biar apapun bebanan tugas dan disiplin pelajar yang dihadapi, guru mesti berpegang pada nilai murni. Usaha mendidik dan membangunkan nilai manusia tidak semudah membina bangunan. Sekali gus guru disanjung kerana maruah dan disiplin keilmuan.

Jangan nila setitik rosak susu sebelanga.

ZULKEFLEE YAACOB,
Kota Bharu, Kelantan.

4 comments:

Anonymous said...

Guru yang melakukan perkara-perkara keterlaluan seperti itu mgkin mengidap penyakit mental kerana tekanan kerja yang terlalu berat. Mungkin elok jika mereka yang merasa nak 'bunuh'pelajar ketika sdg marah bercuti panjang untuk rilekskan fikiran. Janganlah terlalu memaksa diri sehingga melakukan perkara-perkara yang kita sendiri tidak mahu berlaku ke atas anak-anak sendiri walau betapa beratpun kesalahan mereka. Seperti kita, pelajar-pelajar juga tertekan dengan sistem pendidikan negara kita yang terlalu serius. Cakap tidak boleh, main tidak boleh, segala-galanya tidak boleh. Seelok-eloknya kita sebagai guru kena cermin diri sendiri sebelum mendenda pelajar. Dah kerja kita mendidik, bukan sekadar mengajar. Bila mereka tidak mahu mendengar apa boleh buat. Tiada hasilnya jika kita memukul atau mendera....sudah-sudahnya; seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit.... Tak berjaya ajar anak orang lain, ajarlah anak-anak sendiri baik-baik supaya mereka tidak tergolong dalam 'persatuan' anak-anak orang lain yang kurang ajar. Paling baik, bersabar sajalah. Jangan banyak komplen. Dah takdir profession perguruan ini kena banyak bersabar. Pelajar-pelajar kita akan melihat dan menilai kita diam-diam. Dengan personaliti kita sendirilah sebenarnya kita mendidik mereka, bukan dengan tamparan dan dendaan yang keterlaluan.

Anonymous said...

Jika anda tidak berada di tempat guru tersebut,janganlah menghukum. Memang guru kena didik, tapi mak bapak pulak tak pernah didik. Hanya tahu hantar ke sekolah. Serah bulat2. Jumpa guru jarang sekali dan ada juga yang tak pernah. Mengucapkan terima kasih jauh sekali. Tapi kalau anak kena jentik sikit, sepantas kilat dia datang. Kalau jadi warden asrama tu - serba serbi kena tengok - seluar dalam sangkut kat tingkat,almari takpernah kemas, baju di ampaian tak berangkat, kasut tak pernah susun.........Kalau anak-anak kita yang tiga empat oranghari2 macam tu boleh naik angin, apalagi kalau 600 orang. Tuan tak pernah sekolah ke?

Anonymous said...

Nilailah berita dari sudut pandangan kedua-dua belah pihak. Mudah untuk anda mengata guru kerana anda tidak berada di tempat itu. Apa sebab guru itu tampar? Takkan hanya kerana tidak bawa buku...pasti ada sebab lain! Bab itu media takkan tulis sebab masyarakat tidak mahu dan tidak mahu tahu. Memang guru kena mendidik. Tapi kalau ibu bapa anggap sekolah macam "Nursery" susahlah. Semuanya tidak boleh.Mereka tak pernah jadi murid ke? Untuk pengetahuan tuan, murid yang ibu bapa menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada guru,cenderung menjadi murid yang berjaya. Oppsss sorry, guru bukan lagi mendidik - hanya mengajar sebab nama kementerian dah ditukar kepada Kementerian Pendidikan kepada Kementerian Pelajaran. Jadi,kalau tidak mahu anak tuan 'kena dera' oleh guru - pastikan tuan sudah mendidiknya dahulu dengan penuh adab sopan. Kalau tidak - binalah sekolah di depan rumah dan ajarlah sendiri!!

Anonymous said...

Saya ingat ramai guru masih menganggap dirinya Polis Sekolah dan KEBAL daripada Undang-Undang Malaysia.
Sila patuhi Peraturan-peraturan Pelajaran. (Disiplin Sekolah) 1959.

Guru adalah Penjawat Awam yang terpilih untuk kerjaya P&P.
Jika tuan/puan merasa kerjaya ini MEMBOSAN DAN MEMBEBANKAN, sila letak jawatan dan MASIH RAMAI lagi rakyat Malaysia yang berminat untuk mendidik anak bangsa Malaysia hari ini dan berkhidmat sebagai GURU dengan penuh tanggongjawab dan lebih KOMPITEN daripada tuan/puan.
- jelawat, bachok