28 July 2007

IPG jadi pusat jurulatih sukan

Berita Harian


Kementerian mahu Sekolah Sukan Negeri jadi pembekal atlit prestasi tinggi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mengenal pasti sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) untuk dinaik taraf untuk menjadi pusat melahirkan jurulatih sukan berwibawa bagi kepentingan pembangunan sukan dan mempercepatkan usaha membentuk atlit negara bertaraf dunia.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementeriannya sedang berbincang dengan bahagian pendidikan guru untuk mengenal pasti IPG yang sesuai untuk dijadikan perintis kepada projek pembangunan sukan.

“Kita mempunyai banyak IPG yang boleh dinaik taraf dan yang dipilih ini akan dikhususkan dengan pembangunan sukan bagi melahirkan jurulatih sukan berwibawa. Penukaran taraf ini juga memberi peluang kepada atlit lepasan sekolah melanjutkan pelajaran dan meneruskan pembabitan mereka dalam sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Memperkasa Sekolah Sukan, di Sekolah Sukan Bukit Jalil, di sini, semalam. Turut hadir Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut mengumumkan pelantikan bekas Olahragawati Negara, Marina Chin, sebagai Pengetua Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Selain itu, Hishammuddin berkata, antara perancangan masa depan untuk pembangunan sukan sekolah yang lebih menyeluruh adalah mewujudkan jawatan jurulatih sepenuh masa sebagai jawatan hakiki di sekolah, menaik taraf Sekolah Sukan Negeri supaya berfungsi sebagai ‘pembekal’ atlit prestasi tinggi kepada Sekolah Sukan Malaysia.

Katanya, kementerian juga akan menempatkan jurulatih bertauliah sepenuh masa di kalangan guru di semua Pejabat Pelajaran Daerah untuk membangunkan sukan prestasi tinggi di sekolah.

“Jika perancangan itu dibuat dengan teliti dan komprehensif, saya yakin kementerian akan berjaya mewujudkan budaya sukan di sekolah seterusnya mempercepatkan kelahiran lebih ramai atlit berwibawa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kementerian akan terus memikul tanggungjawab untuk melahirkan generasi pelajar berilmu, kritis, kreatif, sihat tubuh badan serta seimbang dari segi intelek, emosi, rohani serta jasmani.

Beliau berkata, sukan bukan sekadar pertandingan atau permainan tapi juga pentas untuk memupuk integrasi kaum dan memupuk semangat cintakan negara.

Katanya, tiga lagi sekolah Sukan Malaysia akan dibina sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu Perlis, Pahang dan Sabah.

“Ia adalah untuk menampung keperluan pelajar sedia ada di Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Bandar Penawar, sekali gus memberi tumpuan kepada pembangunan sukan prestasi tinggi,” katanya.

Sementara itu, ketika mengulas soal disiplin pelajar, Hishammuddin menafikan dakwaan peningkatan kes disiplin sejak kebelakangan ini, berpunca daripada kegagalan pengajian agama dan moral di sekolah.

No comments: