27 July 2007

Jabatan, agensi kerajaan tidak guna CTOS

Utusan Online

PUTRAJAYA 26 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua jabatan dan agensi kerajaan tidak akan menggunakan khidmat Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) walaupun bank-bank perdagangan masih mahu menggunakan khidmat syarikat rujukan kredit itu.

Beliau berkata, tindakan bank-bank perdagangan itu dibuat atas keputusan persatuan mereka.

‘‘Terpulanglah kepada mereka untuk gunakan CTOS kerana itu keputusan persatuan mereka.

‘‘Apa yang saya tahu semua jabatan dan agensi kerajaan tidak akan menggunakan CTOS sebagai rujukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Pendidikan dan Latihan di sini, hari ini.

Najib ditanya mengenai tindakan sejumlah 22 buah bank komersial yang menjadi ahli Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mahu terus menggunakan khidmat agensi rujukan kredit CTOS.

Pengerusi ABM, Datuk Seri Abdul Hamidy Hafiz dalam kenyataannya kelmarin bagaimanapun berkata, bank-bank terbabit diminta mendapatkan persetujuan daripada pelanggan terlebih dahulu sebelum merujuk kepada CTOS atau mana-mana agensi rujukan kredit.

Sementara itu, Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dalam kenyataannya hari ini menyatakan pekeliling telah dikeluarkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan supaya tidak menggunakan CTOS sebagai rujukan.

‘‘Keputusan itu telah diputuskan oleh Kabinet dan ia adalah jelas, jadi agensi kerajaan tidak akan lagi menggunakan CTOS,” katanya.

Mengenai tindakan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr. Rais Yatim menarik diri daripada dicalonkan sebagai Setiausaha Agung Komanwel, Najib berkata, beliau akan membincangkan perkara tersebut dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

No comments: