Hukum pelajar biar berpada
Berita Harian
BERITA mengenai kejadian 200 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Sarawak dihukum berendam dalam kolam ikan yang kotor selama sejam kerana seorang daripada mereka membuang tuala wanita terpakai ke mangkuk tandas asrama Rabu lalu, agak mengejutkan. Seorang warden asrama SMK Bawang Assan dekat Sibu itu, dikatakan mengarahkan pelajar berkenaan berendam dalam kolam sehingga ke paras leher sebagai denda kerana kesalahan seorang daripada mereka yang enggan mengakui kesalahan itu.
Selepas disiasat, tiada pelajar mengaku membuang tuala wanita itu, menyebabkan warden terbabit mengarahkan semua pelajar berkenaan berendam walaupun ketika itu dikatakan hujan dan kilat. Menurut laporan akhbar, kejadian denda itu disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah itu, Jimmy Kiu yang kemudian mengambil beberapa gambar. Kita berpendapat menghukum pelajar berendam dalam kolam ikan yang kotor seperti itu bukan saja tidak setimpal dengan kesalahan pelajar, malah tidak ada dalam peraturan disiplin sekolah berasrama.
Walaupun usaha mendisiplinkan pelajar adalah baik, pendekatan warden terbabit bertentangan dengan garis panduan berkaitan disiplin pelajar yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran. Tindakan warden itu agak keterlaluan dan berbahaya apatah lagi membabitkan pelajar perempuan. Ia sekolah biasa, bukan sekolah latihan untuk anggota tentera apatah lagi jika ia membabitkan anak perempuan yang sudah pasti mengundang rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa.
Bagi berlaku adil kepada kedua-dua pihak, siasatan terperinci perlu dijalankan dengan segera memandangkan isu ini sudah dihebahkan secara meluas di media tempatan. Buat permulaan, pelajar terbabit boleh membuat aduan sama ada kepada Pejabat Pelajaran Daerah atau polis. Walaupun selepas kejadian, ramai pelajar mengalami gatal-gatal dan demam, mereka tidak berani bersuara kerana takut selain diberi amaran supaya tidak menghebahkannya bagi mengelak dikenakan hukuman lebih berat.
Jika perkara ini tidak dihebahkan, sudah pasti segala kepincangan tidak diketahui oleh pihak kementerian atau masyarakat sekitar. Kita tahu lokasi sekolah itu agak terpencil dan hanya boleh dilalui menggunakan bot. Pelajar sekitar kawasan dari Sungai Pasin, Batang Lassa, Nanga Singat, Sungai Lengang, Sungai Belangan dan Tanjung Bekakap, terpaksa menggunakan perahu atau bot ekspres beberapa jam untuk sampai ke sekolah asrama berkenaan. Persoalannya sekarang, apakah tindakan keras seperti itu masih diamalkan di sekolah sekarang dan jika mengambil kira kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, era guru bermaharajalela dengan bertindak sewenang-wenangnya termasuk mendera pelajar sudah lama berlalu.
Guru atau warden perlu bijak menangani masalah disiplin dan tidak seharusnya berkompromi, tetapi tindakan melampau pula tidak boleh diterima pelajar dan masyarakat umum termasuk beberapa kes lain seperti guru memukul, menampar murid atau murid memukul guru. Guru menerima tanggungjawab mendidik, mengajar, mengasuh dan membentuk manusia yang akan menjadi warga berprinsipkan Rukun Negara.
No comments:
Post a Comment