27 July 2007

EPU diarah laksana kajian guna tenaga

Berita Harian


Hasil bantu kerajaan buat dasar lebih tepat: Najib

PUTRAJAYA: Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri dipertanggungjawab menyelaraskan satu kajian menyeluruh berhubung keperluan guna tenaga negara sehingga 2020 bagi membolehkan kerajaan membuat dasar yang tepat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pangkalan data dan peruntukan diguna pakai selama ini sudah tidak lagi mutakhir.

“Dari segi angka digunakan, ia tidak terkini. Maka kita kemas kini berdasarkan kepada angka terkini. Kajian itu dibentangkan untuk pertimbangkan majlis ini pada akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Penasihat Kebangsaan Mengenai Pendidikan dan Latihan di sini, semalam. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi.

Majlis yang dianggotai kementerian dan jabatan kerajaan serta sektor swasta berkaitan pendidikan dan latihan itu diwujudkan bagi menyelaras usaha untuk memenuhi permintaan dan keperluan industri.

Najib berkata, kajian itu turut mencakupi jumlah pekerjaan dan kemahiran diperlukan dengan mengambil kira perubahan struktur ekonomi negara.

Katanya, ekonomi negara kini bergerak daripada berasaskan perindustrian kepada pengetahuan dengan sektor perkhidmatan menjadi lebih besar apabila ekonomi mencapai kematangan.

“Ketika ini, 58 peratus daripada ekonomi kita adalah sektor perkhidmatan sejajar perubahan gaya hidup rakyat,” katanya.

Ditanya apakah kajian itu akan turut membabitkan penetapan gaji minimum, Najib berkata: “Tidak, tidak, tidak... pastinya tidak.”

Timbalan Perdana Menteri berkata, majlis itu turut memutuskan Tabung Pembangunan Kemahiran yang dikendalikan Kementerian Sumber Manusia diaktifkan semula dengan peruntukan kerajaan sebanyak RM130 juta.

“Majlis ini bersetuju supaya skim latihan itu dimulakan dengan 10,000 pelatih,” katanya.

Najib berkata, majlis itu turut memutuskan untuk menambah pemberian insentif bagi skim latihan berkembar yang dikendalikan sektor swasta.

“Sistem ini berguna, tetapi sambutannya tidak begitu menggalakkan kerana insentif diberi tidak begitu menarik. Majlis secara prinsipnya kaji semula dan diperkukuhkan insentif itu dan keputusan akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Mengenai pengumuman Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berhubung pekeliling melarang jabatan dan agensi kerajaan menggunakan perkhidmatan CTOS Sdn Bhd (CTOS), Najib berkata, mereka tidak menggunakannya.

No comments: