28 July 2007

NUTP mahu guru lebih profesional tangani masalah

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu guru muda tidak terlalu beremosi ketika mengendalikan masalah disiplin membabitkan pelajar hingga cenderung menjatuhkan hukuman di luar jangkaan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata guru berkenaan perlu profesional apabila menghadapi tekanan membabitkan disiplin pelajar supaya tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan profesionalisme perguruan secara keseluruhan.

“Tidak dinafikan guru muda sekarang ada yang tidak sabar dan mahukan sesuatu perkara dengan cepat hingga kadang-kadang murid susah nak ikut.

“Kita juga perlu faham kerana kadangkala keadaan persekitaran sekolah boleh mendorong mereka bertindak seperti itu... sesuatu yang tidak dijangka (jatuhkan hukuman),” katanya dihubungi semalam.

Sebelum ini, akhbar melaporkan guru warden wanita Sekolah Menengah Kebangsaan Bawang Assan, Sibu, Wee Yim Pien, 27, merendam 200 pelajar perempuan dalam kolam hampir sejam berikutan seorang daripada mereka enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas.

Bagaimanapun, guru terbabit dibenarkan kembali bertugas kelmarin dan terlepas daripada dikenakan tindakan disiplin selepas memohon maaf kepada ibu bapa pelajar berkenaan, selain 60 pelajar yang menghantar petisyen memaafkannya.

Tindakan guru berkenaan mendapat liputan meluas apabila Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Jimmy Kiu mendedahkan gambar kejadian kepada media.

Walaupun kebelakangan ini tindakan guru menjatuhkan hukuman luar jangkaan mendapat reaksi pelbagai pihak, Lok tetap mempertahankan guru secara keseluruhan kerana yang terbabit hanya segelintir.

Bagi mengelakkan kejadian sama berlaku, Lok berkata, guru muda perlu bijak menangani masalah membabitkan pelajar supaya golongan itu tidak menjadi sasaran kecaman.

No comments: