Bonus ditimbang -- Bagi sektor awam dalam Bajet 2008 – Nor Mohamed
Utusan Online
Oleh Habibah Omar
PUTRAJAYA 26 Julai – Kerajaan akan menimbangkan pemberian bonus kepada kakitangan awam tahun ini dalam pembentangan Bajet 2008, kata Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diputuskan oleh kerajaan terutama Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
‘‘Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan mereka memahami situasi kewangan kerajaan.
‘‘Tetapi seperti kebiasaannya, bonus adalah satu isu yang akan dipertimbangkan oleh kerajaan terutama Perdana Menteri dan dalam bajet, ia menjadi perkara yang akan diputuskan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perbendaharaan 2006 di sini hari ini.
Isnin lalu, CUEPACS dilaporkan tidak akan membuat desakan tuntutan bonus pada tahun ini memandangkan kerajaan telah menaikkan gaji kakitangan awam.
Presidennya, Omar Osman bagaimanapun berkata, jika kerajaan ‘bermurah hati’ mahu membayar bonus, ia merupakan hadiah kepada semua kakitangan sektor awam sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.
Bajet 2008 akan dibentangkan di Parlimen, 7 September ini.
Mengenai bajet, Nor Mohamed berkata, ia sesuatu yang penting kerana 2008 akan menjadi tahun ketiga dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
‘‘Oleh itu, kerajaan perlu memastikan momentum pertumbuhan ekonomi berterusan,’’ katanya.
Menurutnya, beberapa aspek akan diambil kira terutama dalam usaha membasmi kemiskinan tegar selain memberi tumpuan kepada penyediaan perumahan, pengangkutan dan pendidikan kepada rakyat.
Katanya, ia juga meliputi penyediaan perumahan kepada Orang Asli serta penduduk pribumi Sabah dan Sarawak.
‘‘Kita mahu menyediakan kemudahan untuk membolehkan penduduk minoriti itu meningkatkan taraf hidup mereka. Ini akan dimasukkan dalam Bajet 2008,” katanya.
Mengenai perumahan, katanya, mekanisme khas akan dirangka bagi membolehkan orang ramai yang bekerja sendiri dan tidak memiliki penyata gaji termasuk peniaga kecil, pekebun dan nelayan membeli rumah.
‘‘Mekanisme khas akan dilaksanakan, namun saya tidak boleh menyatakannya kerana ia akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pengumuman bajet nanti,’’ katanya.
Untuk golongan korporat pula, katanya, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran perniagaan yang mesra sama ada untuk domestik mahupun luar negara.
Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Dr. Awang Adek Hussin, Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Dr. Wan Abd. Aziz Wan Abdullah.
No comments:
Post a Comment