23 July 2007

Tiada faedah sambung belajar

Berita Harian


DILEMA gaji guru lepasan diploma (DGA29) yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dan dilantik ke jawatan guru siswazah (DG41) seharusnya diberi perhatian pihak Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jika diperhalusi rintihan guru ini, ada kewajarannya. Bermula dengan pengorbanan mereka menyambung pelajaran sepenuh masa ke peringkat ijazah dengan berbekalkan separuh gaji tiga hingga empat tahun.

Mereka menerima gaji statik dalam tempoh itu, bagi mereka yang menyambung pelajaran sebelum Skim Saraan Malaysia (SSM) diperkenalkan hinggalah kepada bebanan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terpaksa dilunaskan selepas tamat pengajian.

Jadi adalah amat tidak kena jika gaji yang mereka peroleh sekarang jauh lebih rendah daripada rakan mereka, yakni guru DGA29 yang tidak menyambung pelajaran, tidak mengeluarkan sebarang kos tetapi mendapat kenaikan gaji lebih tinggi melalui sistem ‘time based’ ke DGA32.

Justeru sebagai jalan penyelesaian sewajarnyalah pihak kementerian dan JPA meneliti masalah guru ini dan melakukan beberapa penyesuaian dalam skim gaji dan pelantikan mereka. Antara yang boleh dipertimbangkan ialah bermula pada 1 Julai ini, gaji permulaan bagi guru DGA29 yang menyambung pelajaran dan dilantik ke jawatan guru siswazah DG41, ialah pada mata gaji tertinggi yang terhampir atau sekurang-kurangnya pada tangga gaji DG41(P1T10) iaitu RM2,509.90, bukannya pada DG41 (P1T4) seperti sekarang ini.

Tangga gaji DG41(P1T10) ini difikirkan amat relevan kerana mata gaji permulaan bagi guru lepasan diploma yang dinaikkan pangkat ke DGA32 (P1T1) ialah RM2,416.06. Jika dibandingkan dengan mata gaji DG41(P1T10), perbezaan gajinya ialah sebanyak RM93.84 saja.

Walaupun tidak memadai, ia boleh dianggap wajar dengan pengorbanan yang guru ini lakukan sepanjang mereka menyambung pelajaran. Bagi guru senasib yang dilantik sebelum 1 Julai dan menerima gaji di bawah DG41 (P1T10), mereka hendaklah diberi kenaikan gaji terus ke mata gaji berkenaan berkuat kuasa pada 1 Julai juga.

Mata gaji minimum bagi lantikan guru sambung belajar yang ada sekarang iaitu pada DG41 (P1T4) dilihat tidak sesuai. Ini kerana mata gaji itu adalah sama dengan guru ‘freshie’ yang baru dilantik, iaitu siswazah yang baru keluar universiti sedangkan guru sambung belajar ini mempunyai pengalaman mengajar serta menghadiri pelbagai kursus.

Peranan guru sebagai pendidik dalam menyumbang kepada pembangunan modal insan negara adalah amat penting. Pengorbanan mereka dalam menyahut agenda nasional bagi mengangkat kualiti pendidikan negara dengan mempertingkatkan ilmu, seharusnya mendapat sokongan padu kerajaan.

WAK NON,
Tanjung Karang, Selangor.

1 comment:

cikguJee said...
This comment has been removed by the author.