24 July 2007

Anugerah Akademik Negara bagi pensyarah

Berita Harian



Pengiktirafan diberi berdasarkan kejayaan dalam pelbagai bidang

KERAJAAN akan menyampaikan Anugerah Akademik Negara (AAN) 2006, kepada pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang mengharumkan nama negara di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya, 2 Ogos depan.

Menurut sumber Kementerian Pengajian Tinggi, majlis penganugerahan julung kali itu akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sambil menjelaskan konsep pengiktirafan itu berlandaskan Anugerah Sanggar Sanjung yang dilaksanakan Universiti Sains Malaysia (USM) selama enam tahun, katanya, penganugerahan AAN akan merangkumi enam kategori utama.

Beliau berkata, kategori terbabit ialah Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti serta Anugerah Pengajaran.

“Pemberian anugerah AAN berdasarkan hadiah dan pengiktirafan dicapai dengan memilih yang terbaik dalam bidang masing-masing.

“Kecemerlangan pensyarah IPT di negara ini sudah terbukti melalui pelbagai pengiktirafan diterima pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya ISESCO Literacy Prize, Carlos J. Finlay Prize for Microbiology (Unesco), Young Scientist Unesco, King Faisal Award (Arab Saudi), Khwarizmi International Award (Iran), Doktoral Fellow PHP (Institute Asia, Tokyo), Prince Sultan bin Abdulaziz International Prize for Water (Arab Saudi) serta World Intellectual Property Organization Awards.

“Malah, pelbagai pertubuhan, persatuan dan kementerian turut mengiktiraf kecemerlangan pensyarah kita, termasuk Yayasan Sains Toray Malaysia, Anugerah Inovasi Negara, Anugerah Langkawi, Anugerah Sastera Negara, Anugerah Tokoh Maal Hijrah, Anugerah Harta Intelek Negara, Anugerah Seniman Negara dan Anugerah Pingat Emas Penyelidikan.

“Selain itu, mereka juga banyak menaikkan nama negara dengan menerbitkan hasil penyelidikan dalam jurnal yang mempunyai impak tinggi, menerbitkan karya asal dalam bentuk buku bernilai tinggi, menghasilkan karya seni dan kreativiti terbaik, mengkomersialkan produk penyelidikan dan menjadi pengajar cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Menurut sumber itu, permohonan AAN terbuka kepada warga negara Malaysia saja membabitkan semua pensyarah yang berkhidmat sepenuh masa bagi tempoh dinilai di universiti dan kolej universiti awam serta swasta tempatan, kecuali bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara.

Bagi Anugerah Tokoh Akademik Negara, katanya, sumbangan kumulatif calon berdasarkan anugerah dan pengiktirafan diterima sepanjang kerjaya akademik akan diambil kira.

Bagi semua kategori lain kecuali Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk, beliau berkata, hanya calon yang sudah menerima anugerah atau pengiktirafan pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2006 layak dipertimbangkan.

“Seterusnya, Anugerah Inovasi dan Pengkomersilan Produk hanya bagi produk yang sudah dikomersialkan dan mendapat pulangan daripada jualan, layak dipertimbangkan.

“Sementara itu bagi kategori Anugerah Pengajaran pula, pensyarah universiti/kolej universiti awam dan swasta yang melaksanakan tanggungjawab pengajaran dengan penuh dedikasi, komited serta sempurna untuk menghasilkan siswazah berkualiti tinggi, layak dipertimbangkan,” katanya.

No comments: