28 July 2007

Isi segera jawatan Hakim Besar Malaya

Utusan Online

Oleh: NORILA DAUD

KUALA LUMPUR 27 Julai – Kerajaan diminta mengisi segera jawatan Hakim Besar Malaya yang dikosongkan selepas Tan Sri Siti Norma Yaakob bersara pada 5 Januari lalu.

Presiden Majlis Peguam Malaysia, Ambiga Sreenevasan berkata, sepatutnya kerajaan telah mempunyai calon untuk menggantikan tempat Siti Norma memandangkan kekosongan berlaku akibat persaraan dan bukannya peletakan jawatan.

Menurutnya, membiarkan jawatan penting itu kosong selama tujuh bulan agak terlalu lama.

‘‘Di England, jawatan berkenaan akan diisi sehari selepas persaraan seseorang hakim,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kata Ambiga, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964, apabila terdapat sesuatu kekosongan, Ketua Hakim perlu melantik seorang Hakim Persekutuan bagi memegang jawatan Pemangku Ketua Hakim.

Sementara itu, beliau berkata, empat jawatan penting dalam bidang kehakiman negara termasuk Ketua Hakim Negara, Ketua Hakim Sabah/ Sarawak, Ketua Hakim Malaya dan Presiden Mahkamah Rayuan masing-masing mempunyai kebebasan tersendiri.

Menurut Ambiga, memandangkan keempat-empat jawatan itu adalah penting dan setiap satu mempunyai tanggungjawab yang berat, adalah sukar bagi seseorang memegang dua daripada empat jawatan tersebut.

Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail menganggap tempoh kekosongan jawatan Hakim Besar Malaya itu adalah yang paling lama pernah terjadi.

Menurut Shaik Daud, kekosongan itu wajib diisi kerana ia melibatkan tanggungjawab berat dan penting.

‘‘Mungkin kerajaan mempunyai sebab-sebab tertentu dalam hal ini dan Ketua Hakim perlu memberi jawapannya,’’ katanya.

Menurut Shaik Daud, kerajaan sepatutnya awal-awal lagi mengenal pasti calon untuk mengisi kekosongan jawatan itu memandangkan Siti Norma bersara dan bukan meletakkan jawatan.

No comments: