24 July 2007

Kajian khusus guru bertindak luar jangkaan

Berita Harian


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran disaran melaksanakan kajian khusus bagi mengenal pasti punca guru bertindak di luar jangkaan ketika menghukum murid sehingga menyebabkan murid trauma.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kebangsaan, Prof Madya Mohd Ali Hassan, berkata ia perlu supaya integriti perguruan tidak terjejas berikutan laporan negatif mengenai profesion itu oleh media.

“Hasil kajian akan menentukan punca guru bertindak di luar jangkaan dan memudahkan tindakan penyelesaian yang konkrit.

“Kita tidak mahu lumpur terpalit dalam profesion perguruan. Oleh itu, kajian perlu dilakukan untuk mencari punca sama ada masalah seperti mengenakan hukuman di luar jangkaan adalah disebabkan bebanan tugas,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan tujuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama, di Baram, Miri, mendakwa dirotan guru 10 hingga 20 kali di punggung sehingga menyebabkan mereka demam dan tidak dapat tidur serta duduk selepas mengotorkan kawasan asrama Khamis lalu.

Kejadian membabitkan guru memberi hukuman luar jangkaan di Miri itu adalah yang terbaru selepas 200 pelajar perempuan SMK Bawang Assan, Sibu, direndam dalam kolam ikan akibat enggan mengakui kesalahan membuang tuala wanita dalam mangkuk tandas asrama.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar, mendedahkan kementeriannya menerima 200 aduan membabitkan salah laku guru sejak Januari tahun ini hingga 15 Mei lalu dan daripada jumlah itu 81 kes diselesaikan dengan tindakan sewajarnya.

No comments: