Halang lelaki ‘lembut’ jadi guru tidak adil
Berita Harian
KUALA LUMPUR: Cadangan Kementerian Pengajian Tinggi tidak menerima lelaki ‘lembut’ dalam bidang perguruan di negara ini dan mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan di universiti tempatan, disifatkan sebagai tidak adil dan menafikan hak asasi individu.
Pelbagai pihak juga mahu kementerian itu mengkaji semula langkah itu kerana ia bukan penyelesaian kepada masalah lelaki ‘lembut’.
Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata ada pelbagai pendekatan yang lebih baik boleh diambil kerana sifat sedemikian lahir secara semula jadi.
“Langkah ini tidak sesuai diambil kerana pemikiran lelaki ‘lembut’ kadang kala lebih tajam daripada lelaki biasa. Kalau mereka pandai, kita boleh gunakan kepandaian itu untuk mendidik anak bangsa.
“Lelaki ‘lembut’ tidak sepatutnya dinafikan hak menjadi guru, sebaliknya pendekatan lain seperti kursus asas atau sesi kaunseling lebih sesuai diberikan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Adham Baba, berkata lelaki ‘lembut’ tidak akan mendapat tempat dalam bidang perguruan di negara ini dan permohonan mereka mengikuti program ijazah sarjana muda pendidikan di universiti tempatan berkemungkinan besar akan ditolak walaupun cemerlang dalam akademik.
Malah semua calon guru diwajibkan menjalani ujian Malaysian Educators Selection Inventory (MEdSI) selain saringan temuduga dikendalikan KPT sebagai langkah memastikan mereka tidak tergolong dalam kumpulan yang mengalami kekeliruan ‘gender’.
Presiden Kongres Kesatuan Perkhidmatan Guru Kementerian Pelajaran, Jamali Paiman, berkata masalah itu adalah terpencil dan golongan terbabit wajar diberi peluang kedua membaiki keupayaan diri masing-masing.
Beliau berkata, setiap orang mempunyai hak masing-masing dan sistem pendidikan negara tidak harus statik dengan menjuruskan kepada satu pihak saja.
"Kita harus memberi peluang dan tidak bersikap prejudis terhadap mereka. Keupayaan mereka mungkin berguna dalam bidang tertentu. Tidak sepatutnya yang lembut apabila mengikuti pengajian akan terus kekal lembut.
"Malah ada di kalangan mereka yang tamat pengajian berubah menjadi lelaki macho. Beri peluang kepada mereka kerana sistem perguruan negara ini adalah demokrasi," katanya.
Presiden Kesatuan Guru-Guru Agama Malaysia Barat, Malek Hassan, pula menganggap keputusan itu tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan negara.
Katanya, sikap lembut seseorang itu tidak boleh menjadi faktor penentu kegemilangan pendidikan tetapi harus ditumpukan komitmen serta nilai lain mereka terhadap dunia pendidikan.
"Ketinggian ilmu serta komitmen mereka menjadi landasan penting bagi menghasilkan seorang pendidik yang cemerlang, bukannya tengok pada fizikal.
"Ada ketika kelembutan ini diperlukan dalam dunia pendidikan dan mereka perlu turut diberi peluang untuk menjadi pendidik," katanya.
2 comments:
Salam kepada semua pembaca,
Menghalang lelaki lembut daripada menjadi seorang pendidik sememangnya tidak adil.
Saya mempunyai seorang pelajar yang 'lembut'. Dia seorang yang berhemah dan pandai mengambil hati. Sebagai seseorang yang memandang tinggi akan profesyen perguruan sudah pasti menjadi seorang guru yang berjaya adalah cita-citanya. Seringkali dia memuji para pendidik dan pujiannya sedikit sebanyak telah membuatkan hatiku 'kembang' dan merangsangkan diriku untuk lebih hebat di matanay sebagai seorang guru. Maklumlah, tidak ramai yang memandang tinggi profesyen ini. Lebih menyedihkan lagi guru dipandang sebelah mata sahaja oleh segelintir ibu bapa yang lupa bahawa golongan guru turut memberikan impak dalam hidup anak mereka. Bagi mencapai hasrat diri anak didikku ini, maka pergilah anak ini ke temuduga kemasukan maktab bagi pelajar lepasan SPM untuk sesi kemasukan 2007. Sekembalinya dari temuduga, dia mengadu kepadaku akan pengalaman temuduganya yang menyedihkan. Aku terkejut dengan kata-katanya, apatah lagi dia ada mengatakan bahawa dia telah rasa hilang hormat terhadap pensyarah yang telah menemuduganya. Apa tidaknya, ketika ditemuduga kedua-dua pensyarah wanita tersebut telah menyuruhnya untuk berjalan dalam bilik temuduga untuk melihat samada dirinya betul-betul lembut atau tidak melalui gayanya berjalan!!! Banyak juga kata-kata pensyarah tersebut mengguris hatinya. Namun begitu, anak didikku yang cekal ini tidak putus berdoa agar dirinya diterima untuk memasuki maktab perguruan. Sementara menunggu tawaran, dirinya sentiasa sibuk mengendalikan pelbagai aktiviti persatuan malah telah juga sempat untuk menaikkan nama sekolah dalam beberapa pertandingan. Memang aku akui bahawa lelaki 'lembut' mempunyai kemahiran interpersonal yang tinggi. kemahirannya berinteraksi menyebabkan dirinya sentiasa kreatif dalam melaksanakan tugas dan peka terhadap keperluan-keperluan pelaksanaan projek. Bukankah ini merupakan antara ciri-ciri yang diingini dalam diri seorang pendidik? Ingatlah, untuk menjadi lelaki lembut bukanlah keinginan mereka, namun menjadi seorang guru yang berintegriti adalah harapan dan cita-citanya. Salah ke? Yang memalukan diriku ini adalah tindakan pensyarah tersebut yang sebenarnya telah memaukan diri anak ini.Wajarkah tindakan mereka ini? Adakah mereka telah dimaklumkan sebelum temuduga agar melihat cara lelaki 'lembut' berjalan sebelum membuat pemilihan?
Anak ini telah pun berjaya mendapat tempat dalam sebuah maktab yang terkenal di ibu kota walaupun kemasukannya lewat. Dia mungkin telah lupa akan insiden yang telah menimpa dirinya ketika ditemuduga, namun Cikgunya pula merasa amat terkilan kerana terdapat segelintir masyarakat (terutamanya pensyarah tersebut)yang memandang rendah terhadap golongan ini sedangkan pada hemat saya, golongan ini jiwanya lebih sensitif dan kebanyakkannya lebih berjaya daripada lelaki yang menggelar diri mereka 'macho' namun tak pun berjaya. Hanya tahu meramaikan lagi Mat Rempit ada....
Sekian sahaja untuk renungan kita.
Sekian.
ye la... kebayakkan la lelaki lembut yg dpt mengajar pelajar... dan lelaki yg konon2 macho 2 cume curi tulang... dapat ker melahirkan guru yg menjadi contoh... fikirkan la.... adoi ... cume satu sahaja jangan la sekat golongan lembut itu menjadi pendidik...
Post a Comment