20 July 2007

Jururawat pakar barah payu dara patut diiktiraf

Berita Harian



DIRAIKAN: Jururawat dari hospital kerajaan dan swasta yang
mengikuti Kursus Latihan Jururawat diraikan oleh Penny William
(tengah) di Ampang, baru-baru ini.

Tanggungjawab dipikul penting kurangkan keresahan, ketakutan hadapi penyakit digeruni wanita

JURURAWAT yang berpengalaman dan ada kemahiran luas dalam rawatan penyakit barah payu dara perlu diberi pengiktirafan serta jawatan khusus dalam bidang penjaga kesihatan oleh kerajaan bagi membantu mengurangkan bebanan di samping tekanan psikologi pesakit dan keluarga yang menghidap penyakit itu.

Saranan ini dibuat oleh Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payu Dara (Breast Cancer Welfare Association, BCWA), Ranjit Kaur yang melihat barah payu dara bukan saja penyakit digeruni tetapi turut memperlihatkan jumlah membimbangkan dan penghidap terpaksa melalui getir hidup sukar bagi melawan penyakit itu.

Ranjit berkata, untuk itu, sudah sampai masanya jururawat berpengetahuan tinggi dalam penjagaan dan rawatan mengenai penyakit barah payu dara, diberi pengiktirafan supaya lebih mudah pesakit mendapatkan sokongan serta nasihat yang betul mengenai rawatan.

Beliau berkata, pada masa kini di Malaysia tiada jururawat khusus bagi rawatan dan penjagaan penyakit barah payu dara berbanding di luar negara yang sudah lama mengiktiraf serta memperkenalkannya kerana menyedari tanggungjawab dipikul golongan itu begitu penting bagi mengurangkan keresahan dan ketakutan pesakit.

“Perasaan resah dan takut adalah perasaan biasa yang kadangkala dialami pesakit mahupun ahli keluarganya apabila menghadap barah. Ketika itu, pelbagai persoalan timbul dalam diri pesakit dan ahli keluarga terutama mengenai cara penjagaan yang betul serta rawatan harus dilalui bagi menangani penyakit berkenaan. “Ketidakpastian terhadap masa depan dan perasaan kecewa yang dihadapi boleh menyebabkan ada di antara pesakit dan ahli keluarga mengalami kemurungan dan tekanan emosi yang begitu tinggi. Ketika dalam situasi itulah, peranan jururawat yang dianggap sebagai barisan utama dalam klinik atau hospital dilihat begitu penting kerana kebanyakan pesakit lebih selesa untuk meluahkan masalah dihadapinya kepada jururawat,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan jururawat yang tamat menyertai Kursus Latihan Jururawat bagi penjagaan pesakit barah payudara oleh Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, HE Penny William di Kedutaan Ausrtalia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

No comments: