16 July 2007

Kementerian galak pendidik tingkat kualiti akademik

Berita Harian

KEMENTERIAN Pelajaran tetap menggalakkan guru bukan siswazah menyambung pelajaran sehingga ke peringkat lebih tinggi demi menyahut seruan kementerian yang berhasrat mencapai sasaran semua guru siswazah di sekolah menengah dan sekurang-kurangnya 50 peratus guru bersiswazah di sekolah rendah pada 2010.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Sekolah), Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan menggalakkan guru menyambung pelajaran seperti biasiswa dan cuti separuh gaji kepada mereka yang berminat meningkatkan kualiti akademiknya.

Bagaimanapun, beliau menafikan kenyataan dan rungutan beberapa pihak mendakwa guru yang menyambung pelajaran mengalami pelbagai kerugian seumur hidup, malah terpaksa ‘berputih mata’ melihat rakan dalam skim bukan siswazah menerima gaji lebih tinggi daripada mereka.

Alimuddin meminta semua guru memandang jauh ke hadapan dan bersikap lebih positif serta menilai setiap faedah yang akan diperoleh guru siswazah berbanding guru lepasan diploma yang tidak berminat menyambung pelajaran.

“Guru siswazah tidak perlu bimbang dengan apa didakwa sebagai ketidakadilan dalam sistem skim gaji guru kerana mereka perlu sedar bahawa apabila mereka memasuki skim guru siswazah, banyak sekali peluang serta faedah yang akan dinikmati, jauh lebih tinggi daripada guru bukan siswazah.

“Antaranya, guru bukan siswazah hanya berpeluang dinaikkan pangkat sehingga ke gred DG38, itupun sekiranya dilantik sebagai Guru Besar Cemerlang. Namun, bagi guru siswazah mereka berpeluang menerima kenaikan pangkat sehingga ke peringkat tertinggi dalam sektor awam iaitu Jawatan Utama Sektor Awam C (Jusa C) sekiranya dilantik sebagai Pengetua Cemerlang,” katanya.

Malah, katanya, guru dalam skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) berpeluang menyambung pelajaran sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dan boleh diambil berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau Institut Aminuddin Baki (IAB), sesuatu yang mustahil dicapai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD).

Alimuddin juga berkata, PPPS berpeluang diambil berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, malah di Kementerian Pelajaran dan boleh dipertimbangkan memegang jawatan sehingga ke peringkat tertinggi.

Merujuk kepada kaedah kenaikan gaji pula, kadar kenaikan tahunan yang dinikmati PPPS lebih tinggi berbanding semua gred dalam PPPLD dan jika ia diberi perhatian, masalah gaji lepasan ijazah yang dikatakan lebih rendah berbanding guru naik pangkat secara tempoh masa (Time Based) akan dapat diatasi hanya dalam tempoh beberapa tahun.

“Jika benar gaji PPPS lebih rendah berbanding guru yang menerima ‘Time Based’, itu mungkin sementara dan hanya berlaku pada sebilangan kecil mereka yang berada dalam kelompok dimaksudkan. Namun, dalam masa beberapa tahun saja, gaji PPPS itu akan ‘memotong’ gaji PPPLD kerana kenaikan tahunan lebih tinggi.

“Justeru, guru tidak perlu melatah serta merungut berkenaan perkara ini kerana pada hakikatnya guru yang memiliki ijazah tidak akan rugi, malah akan memperoleh lebih banyak keuntungan dalam perkhidmatan mereka,” katanya.

Mengulas dakwaan bahawa guru yang menyambung pelajaran selepas lama berkhidmat dalam skim bukan siswazah akan mengalami kerugian dari sudut kekananan, Alimuddin berkata faktor itu bukanlah sesuatu yang diberi keutamaan dalam proses penilaian kenaikan pangkat.

Katanya, apa yang lebih penting dalam memberi kenaikan pangkat adalah kecemerlangan dalam perkhidmatan seseorang pegawai di samping kemampuan guru itu memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) selain mendapat sokongan kuat ketua jabatannya.

No comments: