20 July 2007

Gaji lumayan tarik doktor sertai swasta

Berita Harian

GAJI dan imbuhan doktor sektor swasta yang dianggarkan lima kali ganda daripada apa yang ditawarkan kerajaan menjadi kesukaran utama untuk menghalang penghijrahan doktor hospital kerajaan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

"Walaupun kekurangan dari segi pulangan kewangan, sektor awam menawarkan suasana kerja lebih baik dengan menyediakan makmal dan kemudahan operasi selain menghantar doktor menjalani kursus tertentu.

"Selaras dengan saranan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya pelaburan modal insan dipertingkatkan, Kementerian Kesihatan mendapat peruntukan tambahan RM300 juta bagi menye-diakan lebih banyak kemudahan penyelidikan kepada pakar.

"Kini kita dapat melatih sekurang-kurangnya 400 pakar perubatan setiap tahun dalam pelbagai bidang mengikut keperluan semasa orang ramai," katanya menjawab soalan tambahan Senator Loga Chitra Govindasamy, di Dewan Negara semalam.

Berdasarkan statistik sehingga 1 Julai lalu, kerajaan menggunakan perkhidmatan 213 pakar perubatan asing dari 12 negara bagi mendapatkan kepakaran tertentu yang sukar diperoleh selain untuk mengisi kekosongan kritikal di Johor, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak kerana kurang diminati pakar tempatan.

Pakar perubatan dari India adalah kumpulan terbesar berkhidmat di sini iaitu 97 orang diikuti Myanmar (52 orang), Mesir (42 orang), Pakistan (10 orang), Bangladesh (tiga orang), Singapura (dua orang), Iraq (dua orang) dan masing-masing satu dari Australia, Indonesia, Norway, Taiwan dan United Kingdom.

Dari segi pakar pelbagai bidang perubatan, yang berketurunan Melayu pula ialah 1,043 orang daripada jumlah keseluruhan 1,839 orang iaitu 56.72 peratus.

Menjawab soalan asal Senator Datuk Rizuan Abd Hamid, Abd Latiff menafikan bahawa kebanyakan doktor tempatan kurang berminat berkhidmat dengan kerajaan dan sebaliknya lebih selesa membuka klinik sendiri atau bekerja dengan hospital swasta.

Katanya, secara purata terdapat 300 pakar di kalangan setiap 12,000 doktor dan masing-masing perlu menjalani kriteria yang agak berat iaitu memenuhi empat tahun perkhidmatan wajib, empat tahun lagi bagi kursus kepakaran dan seterusnya dua tahun untuk diwartakan sebagai pakar.

"Biasanya, selepas menjadi doktor pakar mereka tidak terus berhenti kerana mahu menggunakan kemudahan kerajaan seperti gaji penuh dan ada yang dapat biasiswa. Lazimnya mereka terikat selama lima tahun,” katanya.

No comments: