20 July 2007

PPKM garis 5 permintaan bantu pesara

Berita Harian

KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menggariskan lima permintaan yang masih belum ditunaikan sejak 10 tahun lalu untuk pertimbangan kerajaan bagi membantu menjamin masa depan lebih 500,000 pesara di negara ini.

Lima perkara itu adalah kiraan pencen dicadangkan berpandukan tempoh perkhidmatan sebenar dan tidak terhad pada 25 tahun dan pencen terbitan dibayar sepenuhnya dan tidak dipotong 30 peratus selepas 12 setengah tahun bersara.

Selain itu, balu atau duda pesara yang dikahwini selepas bersara dibayar pencen terbitan dan kemudahan lain termasuk anak dengan syarat perkahwinan itu selepas isteri atau suami pertama meninggal dunia, wang ihsan diberi kepada pesara setiap kali bonus diberi kepada kakitangan kerajaan dan pesara diberi pencen minimum melepasi paras kemiskinan semasa.

Presiden PPKM, Tan Sri Abdullah Ayob, berkata Majlis Kebangsaan PPKM yang bersidang di Terengganu minggu lalu memutuskan supaya tindakan susulan diambil selepas memorandum mengenainya diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebulan lalu.

“Permintaan itu pernah beberapa kali dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi tidak mendapat reaksi.

“Perlu diingat, pesara kerajaan turut menyumbang kepada pembangunan negara sejak 50 tahun lalu dan kecekapan kakitangan kerajaan itu lahir daripada adanya skim perkhidmatan awam yang baik dan pencen adalah antara komponennya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

“Pada 1995, kerajaan bersetuju meminda peraturan untuk tidak mengehadkan paras maksimum berkhidmat selama 25 tahun saja, sebaliknya mengambil kira tempoh sebenar perkhidmatan, tetapi keputusan yang diumumkan pada Januari 1996 tidak dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdullah yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), berkata formula mengehadkan pencen kepada separuh gaji terakhir dalam tempoh 25 tahun berkhidmat menyebabkan kerugian besar kepada pesara yang berkhidmat lebih daripada tempoh berkenaan.

Katanya, dalam isu ini, kebanyakan pesara kerajaan adalah pengisi jawatan rendah seperti posmen, atendan hospital, pembantu pejabat dan buruh yang mula bekerja pada usia belasan tahun.

“PKMM juga merayu supaya pencen terbitan tidak dikurangkan selepas dua belas setengah tahun bersara kerana pencen yang diterima majoriti pesara adalah terlalu kecil dan di bawah paras kemiskinan.

“Mengurangkan pencen terbitan akan menambah lagi masalah, lebih-lebih lagi ramai balu mempunyai tanggungan besar menyara anak yang masih bersekolah,” katanya.

Malah, beliau berkata, kadar wang ihsan juga perlu dikaji supaya jumlahnya lebih munasabah seperti RM600 setahun kepada pesara yang menerima pencen kurang RM700 sebulan dan RM500 bagi penerima pencen lebih RM700 sebulan.

“Tahun lalu, kerajaan memberi wang ihsan antara RM200 dan RM300 kepada pesara yang masing-masing menerima pencen kurang atau lebih RM700 sebulan,” katanya.

Selain itu, katanya, ramai peserta menerima pencen kurang RM500 sebulan dan kajian mendapati pendapatan mereka bawah paras kemiskinan.

Abdullah berharap kerajaan dapat menimbangkan sewajarnya isu berkenaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan awam supaya dapat menarik minat generasi muda berpendidikan memasuki perkhidmatan ini.

No comments: