17 July 2007

Masalah guru DGA41 terima gaji rendah dikaji

Berita Harian


Kementerian, JPA tangani rungutan pendidik hilang status kekananan

KUALA LUMPUR: Kerajaan berusaha menyelesaikan masalah lebih 50,000 guru bukan siswazah yang menerima gaji lebih rendah apabila dinaikkan ke gred DGA41 selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam yang mengaku masalah itu berlaku berkata ia sedang cuba diatasi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dan pihak Kementerian Pelajaran.

Memang ada banyak rungutan dan kekecewaan yang kita dengar mengenai perkara ini tetapi kita bukan berdiam diri kerana Kementerian Pelajaran dan JPA sedang berusaha menyelesaikannya,� katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Beliau diminta mengulas Laporan Khas di muka depan akhbar ini semalam mengenai kekecewaan guru yang berkhidmat hampir 10 tahun dan menyambung pelajaran tidak layak mendapat kenaikan pangkat seperti dinikmati guru bukan graduan yang dinaikkan ke gred DGA32 secara time based (tempoh masa) yang biasanya diperoleh selepas 10 tahun perkhidmatan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, dilaporkan berkata guru dilantik dalam skim DGA41 (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah) kerugian kerana gaji mereka jauh lebih rendah berbanding guru yang tidak sambung belajar tetapi mendapat kenaikan gred DGA32 (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma) secara time based, sedangkan tempoh perkhidmatan kedua-duanya sama.

Sementara itu, kakitangan awam yang gagal menjelaskan pinjaman pelajaran mereka bukan saja berdepan kemungkinan tidak dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, malah anak mereka juga tidak akan diberi pinjaman berkenaan.

Ismail yang menyifatkan kedegilan kakitangan awam menjelaskan pinjaman pelajaran sebagai sesuatu yang serius berkata, perbuatan itu ialah pelanggaran disiplin dan tata tertib perkhidmatan awam.

Keengganan menjelaskan semula pinjaman adalah perbuatan tidak bertanggungjawab. Peluang kenaikan pangkat mereka akan terjejas kerana ia adalah satu daripada tindakan yang melanggar tata tertib,� katanya.

No comments: